Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Seri Mohmad Salleh memberitahu The Malaysian Insider polis akan melihat semula kes itu bagi memutuskan sama ada ia patut diklasifikasi sebagai pembunuhan atau tidak.
Semalam, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan terbuka oleh koroner berhubung kematian Teoh 5 tahun lalu, dengan memutuskan “seorang atau beberapa orang bertanggungjawab atas kematiannya”.
Siasatan awal polis mendapati kes Teoh merupakan kematian mengejut tetapi Mohmad berkata lebih ramai saksi akan dipanggil sekiranya timbul keperluan.
"Kami akan siasat untuk memastikan sekiranya ada kemungkinan kematian Teoh akibat perbuatan atau dipercepatkan individu yang tidak dikenali," katanya.
Mohmad memberitahu The Malaysian Insider pasukan khas itu akan diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Amar Singh.
"Kajian mendalam akan dilakukan pasukan khas ini dan satu keputusan akan diambil kemudian sama ada kes itu perlu atau tidak diklasifikasi semula sebagai kes bunuh,” katanya.
Mohmad berkata, masih terlalu awal membuat sebarang kesimpulan pada ketika ini mengenai kes Teoh dan meminta pasukan itu dibiarkan menjalankan tugas mereka dulu.
Selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjanji memberi kerjasama sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan ringkas semalam, SPRM berkata ia menerima keputusan mahkamah itu yang mengenepikan keputusan terbuka koroner berhubung kematian itu.
Katanya, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa mengambil tindakan selanjutnya selepas mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.
"SPRM pada masa yang sama menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan dan peguam negara membuat keputusan muktamad sama ada untuk mendakwa atau tidak mana-mana pihak terlibat," katanya sambil menambah SPRM juga berharap satu penyelesaian muktamad dapat dibuat secepat mungkin.
Teoh, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Paza Masalam, Shah Alam, merupakan pembantu kepada ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah daripada DAP.
Beliau sebelum itu dipanggil SPRM merekodkan keterangan atas dakwaan salah guna dana awam ke atas majikannya.
Teoh sepatutnya mendaftarkan perkahwinannya dengan Soh Cher Wei pada hari itu, menimbulkan persoalan tentang punca kematiannya.
Kesnya menarik perhatian umum mengenai taktik soal siasat yang digunakan SPRM, menyebabkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terbentuk.
Bagaimanapun, RCI memberi tumpuan kepada prosedur soal siasat SPRM dan bukannya kematian Teoh, dan kemudian membuat kesimpulan dia tidak dibunuh.
Panel RCI membuat kesimpulan Teoh membunuh diri kerana taktik soal siasat yang agresif digunakan 3 pegawai SPRM.
sumber




No comments: