Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, salah satu panel bebas yang memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara akan melaksanakan siasatan, jika dibuka semula, secara telus dan lebih menyeluruh dalam kes mendiang Teoh Beng Hock.
Sehubungan itu, Pengerusinya Tan Sri Abu Zahar Ujang (gambar) menyeru semua pihak supaya meletakkan kepercayaan dan keyakinan dalam kebolehan pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan menyiasat kes tersebut sebelum membuat andaian serta kesimpulan tanpa asas kukuh.
"Saya percaya kredibiliti dan integriti pegawai penguatkuasa perlu dipelihara demi keadilan supaya mereka dapat kepercayaan yang tinggi daripada masyarakat dalam memainkan peranan mereka sebagai tunjang menegakkan serta mematuhi undang-undang di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah berharap semua pihak akan menghormati dan menerima keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes mendiang Teoh.
Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu menunjukkan kita perlu meletakkan kepercayaan pada sistem, khususnya sistem keadilan dan badan kehakiman di negara ini perlu dihormati.
Semalam, Jabatan Peguam Negara berkata pihaknya akan mendakwa individu atau beberapa individu yang menyebabkan kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock, jika terdapat keterangan mengikut keadaan yang kukuh untuk berbuat demikian.
Kenyataan Jabatan Peguam Negara menyebut ketika ini, polis membentuk satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut dan jabatan berkenaan akan membuat keputusan selepas siasatan selesai.
"Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara ingin menegaskan syak wasangka semata-mata, tidak kira betapa kuat, tidak akan membuahkan sebarang pendakwaan dalam mana-mana kes," katanya.
Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Teoh disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Ketika menukar keputusan terbuka dalam kes itu, panel tiga hakim berkenaan yang diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memerintahkan agar siasatan lebih terperinci dijalankan berhubung kematian Teoh, tanpa mengecualikan pegawai SPRM.
Teoh, 30, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat SPRM pada pagi 16 Julai 2009.
Dalam keputusan sebulat suara, panel Mahkamah Rayuan yang turut dianggotai Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengetepikan keputusan terbuka yang dibuat Mahkamah Koroner dan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan semakan semula oleh keluarga Teoh.
Malah, menurut Abu Zahar, beliau percaya perkembangan terbaru yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Teoh pasti akan memberi gambaran mahkamah betul-betul telus dan ingin melihat keadilan diberi kepada semua pihak yang terlibat dalam kes ini.
"Sejak tahun 2009, kita menyaksikan keputusan pihak koroner, kemudian laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan. Yang terbaru keputusan Mahkamah Rayuan.
"Bagi kes ini, saya percaya dan yakin dengan proses perundangan yang ada di negara ini, integriti dan kredibiliti SPRM yang diragui oleh segelintiran rakyat berlarutan menjadi polemik sehingga melebihi lima tahun, akan membuktikan ketelusan dan keikhlasan SPRM yang sebenarnya," katanya mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara yang dikeluarkan semalam.




No comments: