Tindakan kerajaan menggantung Pengarah dan Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Peperiksaan susulan kebocoran soalan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah wajar dan efisien, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan memandang serius terhadap insiden itu yang membabitkan hampir setengah juta murid yang mengambil peperiksaan.
"Kami berharap kerajaan dapat menyiasat perkara ini hingga ke akar umbi...walaupun pengarah digantung, tidak semestinya beliau bersalah," katanya hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penggantungan tugas serta-merta Pengarah Lembaga Peperiksaan Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas peperiksaan UPSR 2014 selesai.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim akan menjalankan tugas dan tanggungjawab pengarah Lembaga Peperiksaan dalam tempoh itu.
Berikutan kebocoran soalan itu, calon-calon perlu menduduki kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini.
Sementara itu, Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh turut memuji tindakan kementerian menggantung dua pegawai tertinggi Lembaga Peperiksaan itu.
"Proses penggantungan ini dilakukan supaya siasatan terperinci dapat dilaksanakan...bukan bermakna orang yang kita gantung itu bersalah tetapi ia akan memudahkan proses siasatan," katanya.
Beliau berkata orang ramai perlu melihat agenda tersirat pihak yang membocorkan kertas peperiksaan itu dan bukannya menuding jari kepada kerajaan untuk dipersalahkan.
"Cara pihak yang tidak bertanggungjawab itu membocorkan kertas ujian bukan secara jualan untuk mendapat kewangan tetapi ia disalurkan kepada orang ramai secara terbuka dan percuma, tindakan itu seperti ada agenda tersirat mereka," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim turut bersetuju dengan tindakan Kementerian Pendidikan menggantung Dr Na'imah dan Dr Wan Ilias.
"Saya berasa tindakan ini memang wajar, mereka perlu mempunyai akauntabiliti terhadap tanggungjawab besar melibatkan masa depan 472,853 murid yang menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata insiden itu turut menimbulkan pelbagai masalah bagi ibu bapa murid yang menduduki peperiksaan itu.
No comments: