Jika dilihat luaran dan sikapnya, tiada apa pada Norizan Salleh yang menunjukkan dia pernah ditembak polis di Kuala Lumpur 5 tahun lalu.
Berstatus ibu tunggal pada waktu itu, dia disalah anggap sebagai penjenayah dan ditembak 5 kali semasa berada di dalam sebuah kereta curi.
Dia masih hidup hingga hari ini.
Semalam, berbaju hitam dengan jaket gelap bersama bayi 11 bulan di pangkuannya, dia kelihatan bersemangat dan penuh keyakinan apabila ditemuramah The Malaysian Insider.
"Tidak boleh saya nak kata saya harap ia tak berlaku, tidak boleh juga saya kata saya lega ia terjadi.
"Tetapi saya gembira keputusan mahkamah buktikan saya bukan penjenayah atau orang jahat, dan polis bersalah apabila menembak saya, wang yang diterima pun tidak sepenting mana," katanya apabila ditemui di sebuah restoran di Sri Hartamas.
Kisahnya mendapat liputan muka depan akhbar apabila Norizan menuduh polis menembak tanpa memberi amaran dan menyaman polis dan kerajaan.
Norizan, 34, diberi pampasan RM300,000 dalam kes samannya itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memutuskan tembakan tersebut "menyalahi undang-undang dan tidak wajar".
Hakim Datuk Hue Siew Kheng, yang mengarahkan kerajaan dan seorang pegawai polis membayar RM200,000 pampasan dan RM100,000 bagi kerosakan lain yang dialami, berkata insiden ini patut menjadi pengajaran kepada kakitangan awam, terutamanya polis, supaya tidak mengambil mudah kerjaya mereka.
Norizan berkata, dia tiada masalah untuk tidur sejak insiden Oktober 2009 itu, tetapi mengakui tersentak apabila terdengar siren polis, kerana dia akan teringat kembali apa yang terjadi.
Walaupun mempunyai bapa saudara dan rakan yang berkhidmat dalam pasukan polis dan tidak berfikiran negatif terhadap mereka, dia jadi tidak suka dengan polis "berwajah angkuh".
"Pegawai polis yang menendang saya apabila saya minta tolong selepas ditembak dan jatuh ke tanah, mempunyai raut muka angkuh. Jadi sekarang jika saya nampak polis dengan muka begitu, ia membawa ingatan yang buruk." katanya.
Norizan ditembak pada 4.30 pagi, 30 Oktober 2009 apabila unit peronda polis mendekati kereta yang dinaikinya, di mana dia sedang duduk di kerusi belakang, dan tiba-tiba seorang polis melepaskan tembakan di tengah-tengah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2, Kuala Lumpur.
Norizan berusaha keluar daripada kereta tetapi ditendang dan dipijak polis tersebut. Dia berkata kemudiannya terdapat antara 14 dan 20 anggota polis di tempat kejadian.
Dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur di mana dia menjalani pembedahan dan kemudian ke Institut Jantung Negara mengeluarkan peluru yang terbenam di paru-parunya.
Tidak ada masalah bagi Norizan menjelaskan mengapa dia berada di luar pada dinihari itu apabila ditembak.
Pada petang itu, dia keluar rumah jam 6, mencari kawannya yang bekerja membaiki telefon bimbit.
"Telefon bimbit saya rosak dan kawan saya yang membaiki telefon tinggal dekat dengan rumah ibu bapa saya di Segambut, jadi saya diturunkan di sana.
"Kemudian, pada pukul 11 malam, apabila saya sudah sedia untuk balik, tiada siapa dapat menghantar saya kerana kawan saya tiada lesen memandu. Jadi, dia menghubungi kawannya dari Shah Alam yang datang dengan teman wanitanya. Masa mereka sampai, memang sudah lewat," katanya.
Hanya selepas semua itu berlaku, barulah Norizan tahu kereta yang dinaikinya itu kereta curi.
"Manalah saya tahu ia kereta curi. Saya tak kenal pun lelaki yang memandunya dan teman wanitanya. Waktu itu saya hanya fikir hendak balik rumah saja," katanya, menambah dia tidak pernah terbabit melakukan kesalahan atau mempunyai rekod jenayah.
Suri rumah itu juga bercerita dia hairan mengapa dia tidak merasa sakit ditembak berkali-kali, dan menambah dia hanya mengalami kesukaran bernafas yang teruk pada waktu itu.
Semasa di hospital, Norizan pula terpaksa menahan sindiran pasukan perubatan.
"Saya masih ingat doktor itu menilai saya, mengatakan saya patutnya lebih berwaspada dengan rakan yang saya pilih. Ada juga yang bertanya jika ada antara rakan saya pengganas.
"Kalau saya memang ada buat salah, bolehlah saya terima kritikan mereka, tetapi saya orang biasa. Saya ada ibu bapa, seorang anak pada masa itu, dan tidak akan terfikir untuk menyusahkan mereka," kata Norizan yang kini sudah berkahwin dan menjaga 4 anak.
Katanya, dia tidak cenderung menyokong mana-mana parti politik sekarang, tetapi masih teringat pertemuannya dengan menteri dalam negeri pada masa itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
"Tidak dapat apa-apa daripada pertemuan itu walaupun katanya dia akan menolong saya.
"Semuanya cuma cakap kosong daripada menteri itu. Bayangkan, saya ikut semua saluran yang betul. Mulanya saya pergi ke kerajaan melalui Biro Aduan MCA dan kemudian bertemu menteri, tetapi tiada pun perkembangan.
"Hanya selepas menemui pihak pembangkang, saya berjumpa dengan peguam Latheefa Koya dan N Surendran yang mahu membantu. Jadi, saya tidak tahu, adakah kita benar-benar mempunyai kerajaan yang ambil berat tentang rakyatnya? Saya masih tertanya-tanya," katanya.
Memandangkan pengalamannya, Norizan tidak menolak kemungkinan menceburi politik pada masa depan, tetapi tidak memikirkan tentang itu buat masa ini.
Satu perkara baik yang terjadi di sebalik semua ini, bagi Norizan, adalah menemui pasangan hidupnya Ridzwan Zakaria. Suaminya yang bekerja sebagai kontraktor itu ada bersamanya semasa proses pemulihannya dan ketika kesnya dibawa mahkamah.
"Waktu kami baru bertemu, saya memintanya mencari nama saya di Google, kemudian fikirkan jika masih mahu keluar dengan saya.
"Selepas beberapa lama, dia cari juga nama saya di Google dan berkata perkara itu tidak penting baginya," kata Norizan.
Bercakap tentang isterinya, Ridzwan berkata ia satu keajaiban.
"Ramai orang mati dengan satu tembakan saja, tetapi dia masih hidup selepas 5 tembakan. Bagi saya dia adalah keajaiban.
"Apabila saya mengikutnya menemui peguamnya dan melihat semua butiran yang dibentangkan, saya sedar polis memang melakukan suatu yang amat tidak adil kepada isteri saya," katanya, memegang erat tangannya dan melihat salah satu parut daripada tembakan tersebut.
Meneruskan kehidupan, Norizan ingin memulakan perniagaan kecil dengan wang pampasan sambil menjaga empat anak itu - anak kandungnya, 15, anak saudaranya, 13, anak suaminya, 10, dan bayi mereka, 11 bulan.
"Ramai yang memuji saya berani memfailkan kes terhadap kerajaan dan polis, tetapi pada saya, ia tidak memerlukan keberanian, hanya perlu lakukan perkara yang betul," katanya.





No comments: