» » 'Murid hilang semangat dan motivasi'


Ibu bapa yang berang berkata kebocoran dalam dua kertas peperiksaan menyebabkan anak mereka hilang semangat dan motivasi kerana mereka berharap untuk menghabiskan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selepas setahun belajar dan mengulangkaji pelajaran.

Mereka berkata, rancangan keluarga dan percutian terpaksa dibatalkan selepas Kementerian Pendidikan Malaysia memutuskan untuk menangguhkan kertas Sains dan hampir 500,000 calon UPSR mengambil semula dua kertas Bahasa Inggeris selepas mendapati ada kebocoran – kejadian pertama dalam peperiksaan awam di peringkat sekolah rendah.

“Dia sangat hampa. Dia bekerja keras, sama seperti rakannya di sekolah. Dia asyik bertanya kepada saya mengapa semua ini berlaku. Apa yang patut saya beritahu dia,” kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Rachel.

“Kini ibu bapa dan guru ada tugas besar untuk terus memberi galakan dan motivasi kepada murid untuk menghadapi peperiksaan akan datang. Ini bukan perkara mudah baginya,” katanya.

Seorang bapa, Meor Yusof Aziddin berkata, anak lelakinya yang juga menduduki UPSR tahun ini terlalu kecewa apabila mengetahui kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris bocor sehingga menangis.

“Ini tidak baik untuk emosi kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ditangguh pula sehingga ke 30 september. Apakah mereka yang di atas itu faham dunia dan emosi kanak-kanak? Mereka mungkin faham tetapi mungkin itu tidak penting sangat, bagi mereka.

“Biasanya begitulah, segala yang luar biasa akan menjadi biasa-biasa saja jika kita orang Malaysia,” katanya.

V James berkata, keseluruhan kejadian itu menyebabkan anak perempuannya kecewa kerana tidak dapat menghabiskan peperiksaannya semalam seperti yang sepatutnya.

“Ini bukan mengenai perlu menduduki semula peperiksaan. Ini tentang persediaan mental. Dia sedih dengan keadaan itu. Hakikatnya ialah dia terpaksa memaksa diri untuk belajar bagi jangka masa lebih lama.

“Rancangan kami untuk bercuti terpaksa ditangguhkan atau mungkin dibatalkan,” katanya.

Tan, 45, seorang ibu, juga marah apabila rancangan percutian keluarga yang sudah dirancang tidak dapat diteruskan.

“Bagaimana saya hendak beritahu anak lelaki saya percutiannya terpaksa dibatalkan kerana ada orang tidak bertanggungjawab membocorkan kertas peperiksaan?

“Dia sangat menanti percutian yang dianggap sebagai hadiah untuknya kerana belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Pada Rabu, Kementerian Pendidikan mengumumkan kertas Sains akan ditangguhkan ke 30 September berikutan ada kebocoran kertas soalan.

Kemudian, kementerian berkata kertas Bahasa Inggeris yang diduduki calon pada pagi semalam juga dibatalkan atas alasan sama dan murid terpaksa menduduki semula kertas itu pada 30 September juga.

Pengambilan semula kertas Bahasa Inggeris bagaimanapun tidak akan menjejaskan sekolah vernakular. Lebih 470,000 murid Tahun 6 terjejas akibat kebocoran soalan di kira-kira 8,000 sekolah di seluruh negara.

Lebih 50,000 pengawas peperiksaan terbabit, dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata kertas berkenaan akan diambil semula 30 September bagi membolehkan urusan logistik dibuat.

Ibu bapa juga menghentam Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan dan berkata insiden itu menyebabkan anak mereka hilang keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.

“Jelas, Lembaga Peperiksaan kurang integriti. Di mana pengawasan terhadap kertas peperiksaan? Kementerian gagal dalam menjalankan tugasnya.

“Bagaimana anak-anak ini, selepas apa yang mereka alami, percaya kepada sistem peperiksaan,” kata Rachel.

Tan melahirkan keraguannya terhadap pengendalian kementerian terhadap isu ini, terutama peperiksaan lebih penting selepas kejadian UPSR berkenaan, dan berkata nampaknya kementerian tidak mengambil serius dalam pengurusan peperiksaan.

“Ini Cuma peperiksaan sekolah rendah dan mereka gagal. Bukankah kertas itu sepatutnya disimpat dengan selamat,” katanya.

James berkata, kebocoran kertas soalan setiap tahun menunjukkan ada kecacatan dalam sistem pengurusan peperiksaan kementerian.

“Ini adalah fakta dan ia bukan berlaku kepada UPSR saja. Kita sudah nampak ia terjadi kepada PMR dan SPM juga. Selalu ada cerita mengenainya dan ini bukan kali pertama.

“Ia berlaku tetapi mereka tidak mahu mengakuinya. Tetapi kini, ia tersebar luas dan mereka tidak pilihan,” katanya.

Rachel berkata, dia memberitahu anak perempuannya menerima kejadian itu sebagai satu pengalaman buruk dan teruskan semangat menduduki semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris akan datang.

“Tetapi sukar baginya, saya tahu. Saya bertanya pada diri mengapa orang berkenaan tidak boleh bekerja keras berbanding cuba untuk menipu,” katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .