» » 'Majlis Peguam lulus usul mansuh Akta Hasutan'


Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam Malaysia meluluskan usul untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan mengadakan perarakan berjalan kaki secara aman (peaceful walk) bagi membantah akta yang sedang mengganas sekarang ini.

Lebih 1,000 peguam dari seluruh tanah air menyertai mesyuarat itu dan menyokong usul agar akta kuno yang dibentuk pada 1948 iaitu semasa era penjajahan Bristish itu dimansuhkan.

Usul pertama dibentangkan oleh Pengerusi Majlis Peguam Christopher Leong bagi memansuhkan akta itu manakala usul kedua dibentangkan oleh New Sin Yew untuk mengadakan jalan kaki aman bagi membantahnya.

Menurut usul kedua itu, adalah tidak perlu Majlis Peguam membantah Peguam Negara berikutan tindakannya mendakwa beberapa pihak di bawah Akta Hasutan sejak kebelakangan ini.

Apa yang perlu kata usul itu, adalah Majlis Peguam mengetuai dan menganjurkan perhimpunan protes secara aman pada masa dan tempat yang sesuai.

Usul itu juga mahu Majlis Peguam mengambil tindakan bukan kekerasan yang lain dan sesuai untuk membantah Akta Hasutan secara aman.

Panggilan telefon yang mengatakan ada bom di bangunan tempat mereka bermesyuarat menyebabkan masing-masing mahu menyelesaikan mesyuarat itu dengan cepat walaupun kebanyakan yang hadir ketawa apabila dimaklumkan mengenainya.

"Panggilan bom nampaknya berkesan apabila masing-masing mahu undi dibuat segera," kata peguam Edmund Bon melalui Twitternya.

Usul itu kemudiannya diluluskan pada jam 5.30 petang selepas bermesyuarat hampir dua jam.

Kali terakhir Majlis Peguam mengadakan EGM adalah pada 11 Mei 2012 di mana ahli meluluskan resolusi mengutuk polis kerana menggunakan kuasa "berlebihan" dan "sembarangan" untuk menyuraikan penunjuk perasaan Bersih 3.0 pada 28 April.

Resolusi yang diluluskan dengan cara mengundi, juga menuntut menteri dalam negeri dan ketua polis negara memohon maaf kepada orang ramai dan media ekoran cara polis menjalankan tugas semasa perhimpunan tersebut.

Majlis Peguam, di bawah kepimpinan Datuk Ambiga Sreenevasan, menganjurkan "Berarak untuk Keadilan" di Putrajaya pada 2007, menyeru reformasi kepada badan kehakiman dan menyiasat pita video yang didakwa menunjukkan peguam Datuk VK Lingam menetapkan pelantikan dan penugasan hakim.

Tindakan melobi yang sengit menghasilkan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk tindakan pembetulan.

Hari ini, aktivis pelajar Adam Adli dijatuhkan hukuman penjara satu tahun kerana menghasut.

Adam Adli didakwa kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan pada satu forum 13 Mei tahun lalu apabila dia dikatakan mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bulan lalu, Adun Seri Delima RSN Rayer, juga seorang peguam, didakwa dengan dua pertuduhan hasutan berasingan ekoran penyataan beliau "celaka Umno".

Turut didakwa dengan hasutan termasuk peguam dan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran daripada PKR, dan Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad.

Pada 2 September, pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Dr Azmi Sharom didakwa dengan hasutan berdasarkan kenyataan dalam sebuah artikel ketika beliau memberi komen mengenai krisis Perlembagaan Perak 2009 yang diterbitkan dalam portal berita pada 14 Ogos.

Ahli politik Sabah David Orok didakwa mengikut undang-undang yang sama pada 3 September kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad dalam Facebook dua bulan lalu.

Penceramah dan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussein mengaku tidak bersalah pada Rabu minggu lalu kerana membuat kenyataan berunsur hasutan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam posting Facebook pada November tahun lepas.

Peguam hak asasi manusia Edmund Bon juga sedang disiasat kerana didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan yang dibuat dalam satu artikel pada Januari.

EGM dimulakan jam 3 petang tadi di Dewan San Choon, Wisma MCA, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .