» » Kit Siang gesa tubuh RCI siasat kertas soalan UPSR bocor


Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menjejaskan 500,000 pelajar, kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, sudah tiba masanya siasatan berskala penuh perlu dijalankan ekoran kekerapan kebocoran kertas peperiksaan kebangsaan.

“Kejadian kerap kebocoran melibatkan kertas peperiksaan UPSR, SPM dan STPM meruntuhkan keyakinan masyarakat terhadap integriti sistem pendidikan.

“Ini petanda sistem urus tadbir yang rosak, daripada buruk kepada bertambah buruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan mengumumkan 473,175 murid tahun enam akan menduduki semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini.

Kebocoran dua kertas peperiksaan itu menyebabkan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan permohonan maaf.

Muhyiddin turut mengumumkan semalam penggantungan sementara dua pegawai kanan Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak dan Dr Wan Ilias Wan Salleh kerana mencemarkan imej kementerian.

Lim berkata insiden kebocoran kertas UPSR adalah suatu perkara yang memalukan terutamanya apabila Muhyiddin menghadiri mesyuarat menteri pendidikan di luar negara.

"Muhyiddin pasti berasa malu menghadiri mesyuarat Menteri Pendidikan Asean ke-8 di Vientiane.

"Apabila berita kebocoran kertas peperiksaan dilaporkan, Muhyiddin mendakwa ia mungkin perbuatan sabotaj bagi memalukannya dan kementerian," katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, RCI yang perlu ditubuhkan itu bukan sahaja perlu menyiasat kebocoran kertas peperiksaan tetapi standard pendidikan di Malaysia.

"Seluruh sistem pendidikan perlu pemeriksaan komprehensif oleh badan bebas dan berpengetahuan," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .