» » Kesilapan berterusan KPM halang kecemerlangan murid-murid di Malaysia


Kurang sebulan selepas kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ibu bapa sekali lagi marah dengan Kementerian Pendidikan – kali ini tentang keputusan mengejut untuk melarang pelajar Tingkatan Lima daripada mendaftar untuk program pra-universiti menggunakan keputusan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kumpulan ibu bapa berkata, kementerian sedang menghalang pelajar daripada kecemerlangan, tanpa memberikan sebab mengapa mereka melakukan sedemikian.

"Pelajar ini menggunakan keputusan percubaan mereka kerana ingin memasuki kolej lebih awal. Kementerian Pendidikan sepatutnya menggalakkan sikap proaktif, sikap bermotivasi dan bukannya menghalang mereka," kata Pengerusi Action Group for Parents in Education Melaka (Magpie) Mak Chee Kin.

Akhbar The Star semalam melaporkan Kementerian Pendidikan memaklumkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) keputusan peperiksaan percubaan SPM tidak lagi boleh digunakan untuk kelayakan kemasukan.

Peperiksaan SPM setaraf dengan peperiksaan O Levels di United Kingdom (UK).

Pelajar kini perlu menunggu sehingga Mac untuk menerima keputusan rasmi SPM sebelum mendaftar untuk program pra-universiti, bermakna ia akan melambatkan pelajaran mereka selama setahun.

"Bagi pelajar proaktif ini, mereka membuang masa menunggu keputusan rasmi. Sesetengah kolej hanya ada kemasukan bagi Januari dan September setiap tahun, bermakna terdapat perbezaan lapan bulan," kata Mak kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.

"Ia membuatkan kita berfikir, apa jenis pegawai yang kita ada di Kementerian Pendidikan? Saya betul-betul tidak boleh fikirkan polisi yang dibuat mereka yang setakat ini memanfaatkan pihak yang berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan selama ini membuat kesilapan demi kesilapan, daripada memansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) pada 2009, kekeliruan tentang sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBA) sehingga kebocoran kertas soalan UPSR yang memaksa pelajar Tahun 6 menduduki semula peperiksaan.

"Saya terkejut sebelum mereka mencapai keputusan seperti ini, pihak berkepentingan tidak dirujuk. Ini bertentangan dengan jaminan perdana menteri.

"Setiap kali Kementerian Pendidikan membuat keputusan, ia mengakibatkan kesusahan yang tidak perlu kepada semua pihak," katanya.

Persatuan Kolej Swasta Malaysia dilaporkan sedang merayu supaya keputusan tersebut dirujuk semula.

Ahli Parlimen pembangkang juga mengecam keputusan kementerian, mengatakan ia tidak berasas.

"Tanggungjawab paling utama Kementerian Pendidikan ialah memastikan pelajar mendapatkan pendidikan mereka dengan lancar, bukannya menegakkan satu lagi larangan," kata Ahli Parlimen Bayan Baru PKR Sim Tze Zin.

"Polisi ini mempunyai implikasi yang luas yang akan memberi kesan kepada perancangan beribu-ribu pelajar yang menduduki SPM. Mereka sudah pun mengambil peperiksaan percubaan pada September, sekarang keputusan itu serta-merta menjadi pembaziran,” katanya.

Beliau berkata, ia bukannya tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk mengarah institusi pendidikan tinggi peperiksaan mana yang boleh mereka gunakan untuk kriteria kemasukan mereka.

"Jika mereka boleh mendaftarkan pelajar dari luar negara dengan keputusan peperiksaan yang berbeza, mengapa jadikan urusan bagi pelajar tempatan lebih sukar untuk mendapatkan pendidikan tinggi,” katanya.

Ahli Parlimen Serdang DAP Ong Kian Ming berkata, tindakan kementerian ini "tidak munasabah" dan menentang amalan tradisional.

"Malah banyak universiti luar negara menggunakan keputusan peperiksaan percubaan untuk membuat kemasukan bersyarat kepada pelajar kita. Ini langkah yang tidak munasabah dan membazir masa pelajar," katanya.

Pengerusi Parent Action Group for Education (PAGE) Datin Noor Azimah berkata, kementerian perlu menjelaskan dan menghuraikan tindakan mereka dan merujuk dengan pihak berkepentingan sebelum membuat tindakan.

Beliau berkata, ia melibatkan ibu bapa serta masa pelajar, dan menambah perkara sebegini tidak boleh diambil ringan.

"Kementerian sepatutnya memupuk hubungan baik dengan IPTS dan kampus cawangan luar. Bukannya menakutkannya.

"Mereka patut berhenti menghalang pelajar daripada mencapai kecermelangan." katanya dan menambah tindakan tersebut mungkin percubaab mengenakan mereka yang terkecuali daripada menyertai Latihan Khidmat Negara.

"Mungkin penyelesaiannya adalah menggunakan saja keputusan percubaan (atau) IPTS itu sendiri boleh menjalankan ujian kemasukan mereka yang disesuaikan. Setiap institusi berbeza,” katanya.

Bantahan kementerian daripada menggunakan keputusan percubaan SPM selepas kegagalan mereka menghalang kebocoran kertas soalan Bahasa Tamil dan Inggeris serta Matematik dan Sains UPSR, memaksa pelajar seluruh negara menduduki semula peperiksaan.

Kementerian Pendidikan juga dikritik hebat tahun ini kerana pengendalian program Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan sistem PBA yang kucar-kacir.

Di bawah PBA, tiada ujian atau kuiz yang diberikan di sekolah kepada pelajar Tingkatan Satu dan Dua. Peperiksaan PT3 adalah untuk menggantikan PMR (Penilaian Menengah Rendah) bagi pelajar Tingkatan Tiga bermula tahun ini.

Bagaimanapun guru mengadu mereka tidak diberi masa yang mencukupi untuk persiapan PT3, dan sentiasa dibebani kertas kerja yang menimbun.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .