Putrajaya masih memikirkan sama ada untuk mengekalkan Akta Hasutan atau menggantikannya dan berkata masih belum menggubal undang-undang baru walaupun perdana menteri sudah dua tahun berjanji untuk memansuhkan undang-undang penjajah itu.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya hari ini berkata, Jabatan Peguam Negara akan menggubal Akta Keharmonian Nasional hanya selepas menyelesaikan beberapa isu utama dan asas mengenainya.
"Mana-mana draf undang-undang yang disediakan oleh pihak lain selain daripada Jabatan Peguam Negara adalah tidak sah dan tidak boleh diterima," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu datang selepas kumpulan hak Melayu menegaskan undang-undang hasutan harus kekal dan mereka akan menarik balik sokongan kepada Barisan Nasional jika ia dimansuhkan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali sebelum ini berkata tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tersebut kerana menyifatkan pendirian kerajaan itu akan menyebabkan parti Umno-BN sama seperti parti pembangkang.
"Saya secara peribadi tidak akan mengundi Umno-BN meskipun saya hanya ada satu undi dan ia tidak begitu penting.
"Buat apa saya hendak mengundi Umno-BN kalau mereka sama seperti pembangkang. Semua hendak dimansuhkan, jadi apa gunanya?" katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.
Terdahulu Majlis Peguam Malaysia juga melancarkan Kempen Mansuhkan Akta Hasutan yang dijalankan selama setahun.
Gerakan Hapus Akta Hasutan (Ghah) diwakili 112 NGO menyatakan bantahan penggunaan berterusan undang-undang zalim Akta Hasutan 1948 yang dianggap cara penindasan dan keganasan politik.
"Kerajaan ingin menegaskan sebarang keputusan yang dibuat sama ada untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional hendaklah dibuat dengan rasional, berhemah dan terbuka," kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu.
Proses ini katanya, hendaklah dilakukan dalam keadaan terkawal agar negara terus berada dalam keadaan harmoni, kukuh dan stabil.
Kerajaan juga menurut kenyataan itu, tidak akan tergesa-gesa menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang baru tanpa meneliti semua aspek berkaitan termasuk kepentingan elemen pencegahan.
"Kerajaan tidak akan mengambil langkah atau tindakan yang boleh menyebabkan suasana dalam negara tidak tenteram. Negara masih memerlukan sokongan undang-undang yang mampu menjadi ‘deterrent’ bagi memastikan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara terus dipelihara," katanya.
Menurut kenyataan itu, rundingan akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan, termasuk kumpulan-kumpulan yang mewakili kepentingan orang Melayu yang rata-rata bimbang dengan cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948.
Selepas proses rundingan diadakan, barulah kerajaan akan menentukan hala tuju yang akan diambil dengan matlamat mewujudkan keadaan lebih baik untuk negara, katanya.
Apa sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan tidak akan menyebabkan masyarakat berbilang bangsa negara ini berasa bimbang, kurang yakin atau tergugat, katanya.
Selain itu, ia juga mesti mampu mengawal fahaman serta pergerakan radikal, ekstrem atau fanatik selain mengekang pelampau kaum dan agama dalam masyarakat.
"Kebebasan yang diberi kepada rakyat perlu diimbangi dengan undang-undang untuk melindungi prinsip-prinsip penting yang sekian lama didukung oleh masyarakat di negara ini," katanya.
Berdasarkan perbincangan dan maklum balas yang diterima kerajaan setakat ini, terdapat empat pandangan berlainan yang wujud berkaitan isu Akta Hasutan 1948.
Pertama, terdapat permintaan agar Akta Hasutan dikekalkan dengan sedikit pindaan sahaja.
Kedua, ada yang meminta Akta Hasutan dihapuskan sama sekali.
Ketiga, memilih menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional demi menjaga perpaduan rakyat dan kestabilan negara.
Keempat, ada berpendapat Akta Keharmonian Nasional diwujudkan sebagai akta baru di samping Akta Hasutan 1948 yang patut dikekalkan.
Kerajaan bagaimanapun katanya, ingin menjelaskan draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional belum disediakan lagi pada masa ini.
"Kerajaan masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai prinsip-prinsip asas yang akan dijadikan panduan dalam menggubal undang-undang berkenaan.
"Hanya selepas konsensus umum dicapai di kalangan rakyat termasuk mereka di Sabah dan Sarawak, barulah kelak proses penggubalan akan dimulakan," kata kenyataan itu.
Proses ini akan mengambil masa agar undang-undang yang baru kelak benar-benar dapat membantu merealisasikan matlamat untuk membina sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni, tambah kenyataan itu.
sumber




No comments: