» » 'Kebocoran kertas UPSR jejaskan imej pendidikan Malaysia'


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengatakan insiden kebocoran kertas Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) yang berlaku amat menjejaskan pendidikan negara.

Timbalan perdana menteri itu mengakui, ia merupakan perkara yang tidak dapat diterima memandangkan pendidikan di Malaysia diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

"Ia satu kejadian yang memalukan, hal ini masih berlaku selepas sekian lama kita mewujudkan kementerian pendidikan yang terbaik di dunia," katanya semasa berucap di Majlis Persidangan Tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPPK) di Genting Highland, Pahang hari ini.

Mengulas mengenai isu kebocoran tersebut, Muhyiddin berkata sudah sampai masanya masyarakat negara ini untuk membuang budaya lama dengan tidak merasa terlalu tertekan menjawab soalan peperiksaan.

"Kita menyokong bahawa budaya ‎lama harus dikikis budaya yang terlalu inginkan jawapan di mana ia bukan hak kita.

"Kita perlu memupuk satu budaya baru di mana masyarakat tidak boleh menjadi terlalu tertekan menjawab peperiksaan sehingga mudah untuk mencari jalan keluar," katanya.

Muhyiddin yang juga menteri pendidikan turut mendedahkan antara intipati yang dibincangkan dalam mesyuarat khas prosedur operasi standard (SOP)‎ penyediaan kertas UPSR.

Beliau berkata, kementeriannya kini mengkaji penambahbaikkan yang perlu dilakukan dalam sistem peperiksaan UPSR.

Katanya ini termasuk dalam memelihara integriti pegawai lembaga peperiksaan supaya peranan mereka terus dipelihara dan dihormati.

"Saya baru selesai mesyuarat khas penyediaan kertas UPSR dan kita akan beri penekanan terhadap pengukuhan sistem peperiksaan negara yang mana kita akan umum dalam masa terdekat," katanya

Kertas soalan Sains dengan kod 018, 028 dan 038, yang dijadualkan pada Khamis ditunda berikutan kebocoran berkenaan.

Dan pada Jumaat pula sekali lagi kertas soalan Bahasa Inggeris dengan kod 014/1 dan 014/2 turut didapati bocor sekaligus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Susulan daripada insiden itu dalam kenyataan terdahulu Muhyiddin dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh mengeluarkan permohonan maaf di mana menyaksikan penggantungan serta-merta Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak serta timbalannya Dr Wan Ilias Wan Salleh.

Kebocoran itu mengakibatkan 473,175 pelajar Tahun 6 di seluruh negara mengambil semula kertas soalan tersebut pada 30 September.

‎Muhyiddin juga menyambut baik cadangan Presiden KPPK Hashim Adnan yang meminta kementerian pendidikan untuk menguna pakai perkhidmatan konsultansi untuk pendidikan daripada kesatuan tempatan.

"Saya menyambut baik cadangan itu, kerana sudah kementerian dapat menggunapakai pengalaman daripada kesatuan guru yang lebih mahir dan mengetahui situasi sebenar dalam arena pendidikan," katanya.

Terdahulu presiden KPPK dalam ucapannya, menyarankan kementerian pendidikan menggunakan khidmat perunding warga pendidik tempatan‎ dalam proses penambaikkan sistem pendidikan.

"Kita memohon kepada menteri untuk mempertimbangkan mengguna pakai khidmat perunding tempatan dari warga pendidik sendiri daripada mengubah konsultansi luar dan menghabiskan jutaan ringgit.

"Kita percaya dengan pengalaman dan usia kesatuan ini hampir 20 tahun dapat memberi sumbangan kepada sistem pendidikan negara, menteri tidak perlu membayar sebaliknya kita tawarkan secara percuma," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .