» » 'Gagal mansuh Akta Hasutan bukti PM tebusan kepada pelampau'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai kemahuan untuk mempertahankan sikapnya melawan pelampau apabila gagal memenuhi janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, kata DAP hari ini.

Setiausaha agung parti Lim Guan Eng berkata janji Najib untuk memansuhkan undang-undang era penjajahan kuno itu dibuat pada 2012 dan dinyatakan dalam satu temu bual dengan BBC World News.

"Bagaimanapun, sikap 'flip-flop' Najib ke atas Akta Hasutan jelas menunjukkan bahawa dia tidak berani untuk menentang pelampau," kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataannya.

Semalam, Putrajaya berkata ia masih memikirkan sama ada untuk mengekalkan Akta Hasutan atau menggantikannya sama sekali, kerana tidak ada undang-undang baru lagi yang digubal sebagai pengganti.

Pejabat Perdana Menteri berkata, Jabatan Peguam Negara akan menggubal Akta Keharmonian Nasional hanya selepas isu-isu utama dan asas diputuskan.

"Dengan kegagalannya menunaikan janji untuk memansuhkan akta tersebut, Najib membuktikan dia seorang tebusan kepada pelampau," kata Lim.

"Najib hanya perlu mengakui gabungan sederhana beliau dan konsep 1Malaysia menemui kegagalan baru-baru ini," kata Lim merujuk kepada tangkapan di bawah akta kuno itu.

"Adalah menarik untuk diambil perhatian Najib baru-baru ini menubuhkan laman web peribadi baru untuk menjauhkan dirinya daripada www.1malaysia.com.my yang penuh dengan janji-janji yang tidak tertunai."

Mengulas mengenai serangan kilat akta hasutan oleh Putrajaya, yang menyaksikan beberapa ahli parlimen pembangkang, ahli akademik, pendakwah dan seorang wartawan dicaj atau disiasat kerana hasutan, Lim berkata: "Ini menunjukkan pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara, yang ditentang DAP."

"Tidak ada tindakan tegas diambil terhadap Perkasa atau pemimpin Umno yang lain kerana membuat kenyataan kesat terhadap bukan Melayu dan bukan Islam."

Lim berkata pendakwaan ke atas pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Azmi Sharom kerana menghasut semata-mata kerana memberi pandangan akademik beliau menunjukkan tindakan tidak menghormati kedaulatan undang-undang.

"Walaupun Putrajaya sibuk mendakwa rakyat Malaysia, masalah asas hutang yang tinggi dan defisit belanjawan tidak ditangani.

"Hutang negara meningkat daripada RM266 bilion kepada RM542 bilion antara 2007 dan 2014," katanya.

"Hutang isi rumah adalah yang kedua tertinggi di Asia pada 87% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia. Peningkatan kos hidup adalah masalah yang serius untuk kumpulan berpendapatan rendah."

Lim menegaskan, hatta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang dengan eksploitasi kewangan 1MDB.

"Hutang 1MDB kini RM38 bilion dan pendapatan operasi tidak mencukupi untuk menampung bayaran faedah," katanya.

"Memandangkan Malaysia bersedia untuk meraikan Hari Malaysia pada 16 September, hak dan perasaan kita sedang diinjak-injak oleh pelampau."

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .