» » 'Ditahan 19 hari kerana kes hasutan lebih lama dari suspek kes bunuh'


Aktivis Ali Abd Jalil dijangka akan dibebaskan daripada tahanan polis esok pada 12.30 tengah hari selepas 19 hari dalam reman, kata peguamnya New Sin Yew.

New bagaimanapun melahirkan kebimbangan tentang kemungkinan Ali ditahan semula kerana laporan polis terhadap anak guamnya itu dibuat di Nusajaya.

Pada Selasa, Ali diikat jamin RM8,000 di kompleks mahkamah Shah Alam apabila ditahan semula polis dan dibawa ke Johor, tindakan yang dikatakan New merupakan satu "roadshow" yang bertujuan menakut-nakutkan Ali.

"Seluruh proses roadshow yang dilakukan terhadap klien saya oleh polis sememangnya salah," kata New kepada The Malaysian Insider dan menambah kliennya sudahpun menghabiskan 19 hari dalam tahanan polis antara Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Katanya, Ali menghabiskan lebih masa dalam tahanan polis berbanding suspek pembunuhan, yang hanya boleh ditahan selama 14 hari sebelum perlu dilepaskan atau didakwa polis.

"Tetapi jika tertuduh memuat naik post di laman Facebook, nampaknya akan ditahan lebih lama daripada suspek pembunuhan," kata New.

"Mana-mana peguam jenayah yang berpengalaman akan faham bahawa roadshow tersebut digunakan oleh polis sebagai bentuk penyeksaan mental dan psikologi.

"Ia akan membuatkan suspek menjalani proses supaya mereka bercakap dan hilang semangat," kata New, sambil menambah anak guamnya tampak penuh semangat.

New berjumpa dengan kliennya di Johor Baru hari ini selama 30 minit semasa Ali dibawa ke hadapan majistret yang memberi lanjutan reman sehari kepada polis.

"Keluarganya di bawah tekanan dan stres emosi yang berat, tetapi mereka masih bertahan dan cuba memberi sokongan moral kepada Ali sebaik mungkin," kata New.

New berkata, saga akta hasutan yang mengelilingi Ali membuatkannya seperti Malaysia sedang di abad ke-17 daripada tahun 2014.

"Seluruh saga ini menunjukkan betapa tidak munasabahnya Akta Hasutan 1948, seperti ia satu jenayah bagi orang ramai menyuarakan pendapat mereka."

"Cara orang ramai menyuarakan pemikiran dan pendapat sendiri boleh membuatkan mereka ditangkap polis untuk menjalani roadshow di seluruh negara," kata New.

"Polis juga seperti tidak dapat membuat siasatan lebih mudah bagi mereka sendiri serta suspek, kerana sepatutnya semuanya berpusat."

Pada Selasa, The Malaysian Insider melaporkan Ali yang ditahan di penjara Sungai Buloh dalam reman selepas didakwa menghasut, mendakwa diserang pegawai penjara.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada malam pertama penahanannya pada 8 September.

The Malaysian Insider difahamkan satu laporan polis dibuat oleh abangnya di stesen poils Taman Tun Dr Ismail pada Sabtu.

Sebelum itu Ali sudah pun memberitahu keluarganya tentang pukulan yang diterimanya di penjara Sungai Buloh.

Dia mula dipenjarakan pada 8 September, dan kemudian mengatakan dipukul seorang pegawai penjara yang bercakap dengan loghat pantai Timur.

Pegawai tersebut didakwa menumbuk, menampar dan memukul Ali menggunakan baton dan paip getah di dalam bilik kosong.

Ali bagaimanapun berkata pemukulan tersebut tidak meninggalkan apa-apa kesan atau luka pada badannya.

Dia berkata tidak dapat memberitahu sesiapa pun tentang insiden tersebut kerana tidak dibenarkan berjumpa dengan sesiapa sebelum Jumaat, apabila dia berjumpa dengan New.

Ali yang didakwa dengan kesalahan menghasut pada 8 September kerana post Facebooknya pada Januari berkata seorang lagi warden mengugut akan mendapatkan banduan-banduan lain untuk memukulnya.

Ali yang bersama gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) dituduh memuatnaik kenyataan berbaur hasutan di halaman Facebook "Kapitalis Bangsat" dalam tiga komen berlainan, yang didakwa menghina Sultan Johor dan menyeru supaya ia dijatuhkan.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .