Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenal pasti beberapa individu yang dikatakan bertanggungjawab dalam kes kebocoran kerjas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh pada sidang media hari ini berkata, pihak berkuasa juga berjaya mengenal pasti beberapa 'hotspots' (titik panas) di mana kebocoran berlaku.
"Saya dimaklumkan pasukan penyiasat berjaya mengenal pasti beberapa individu dipercayai bertanggungjawab atas kejadian kebocoran kertas soalan UPSR.
"Individu yang tidak memegang amanah ini mengkhianati rahsia negara untuk kepentingan diri dan peribadi. Hukuman yang paling keras mesti diambil ke atas mereka,” katanya.
Seramai 473,175 murid Tahun 6 menduduki UPSR seluruh negara tahun ini. Peperiksaan itu dijadualkan berjalan selama 3 hari mulai 9 September.
Bagaimanapun, kertas Sains yang asalnya dijadualkan pada 11 September, ditangguhkan selepas Kementerian Pendidikan mendapati kandungannya tersebar di media sosial.
Semalam, kementerian mengumumkan kertas Bahasa Inggeris turut terjejas menyebabkan ia terpaksa dijalankan semula.
Ini membangkitkan kemarahan ibu bapa calon UPSR yang sudah menduduki peperiksaan bagi kertas itu pagi semalam, hingga ada yang mendesak supaya mereka yang bersalah dipecat.
Idris berkata, kementerian mengambil tanggungjawab penuh atas kebocoran yang terjadi, menyebabkan beliau membuat permohonan maaf secara terbuka semalam.
"Ya, sudah tentu kami terima sepenuhnya tanggungjawab ini. Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengeluarkan kenyataan memohon maaf,” katanya.
Kementerian berkata, kebocoran kertas Bahasa Inggeris hanya melibatkan sekolah kebangsaan, manakala murid sekolah jenis kebangsaan tidak perlu mendudukinya semula.
"Keputusan menangguhkan kertas Sains dan mengulang kertas Bahasa Inggeris pada 30 September kerana perlu menyelesaikan isu seperti logistik, teknikal dan keselamatan," kata Idris.
Idris melahirkan kemarahan dan kekecewaaan terhadap sikap tidak bertanggungjawab "pengkhianat" dalam kes ini yang membabitkan sejumlah besar murid dan ibu bapa.
"Pengkhianat tiada kejujuran dan integriti. Semua proses penangguhan dan peperiksaan semula ini sepatutnya tidak perlu diadakan,” katanya.
Katanya, kementerian mengambil langkah perlu memastikan kertas yang akan dijalankan pada 30 September selamat.
Idris enggan mendedahkan bagaimana kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris itu bocor, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur sabotaj.
"Kami ambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu bagi memastikan soalan peperiksaan 30 September nanti tidak bocor, kami sedang melihat mana-mana kelemahan yang perlu diatasi,” katanya.
Idris berkata, beliau tahu laman sosial dipenuhi dengan kritik terhadap kementerian terutama daripada ibu bapa yang marah kerana anak mereka terpaksa menduduki semula dua kertas itu.
"Selain menyediakan persiapan untuk peperiksaan pada 30 September, objektif utama kami ialah bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan memastikan dalang kes ini ditangkap,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Misrah Ibrahim dan Pengarah Lembaga Peperiksaan Dr Na'imah Ishak.
sumber
No comments: