» » Dakwaan Ahmad Maslan k'jaan tanggung rakyat M'sia 3 bulan tak betul'


Institut Rakyat berpendirian hujah Datuk Ahmad Maslan bahawa kerajaan menanggung tiga bulan kehidupan rakyat Malaysia bukan sahaja tidak benar dan tidak bertanggunjawab, malah ia mencerminkan dasar ekonomi negara yang amat membimbangkan dengan mengekalkan golongan miskin dalam kemiskinan demi kepentingan politik.

Timbalan menteri kewangan juga dilaporkan berkata bahawa kerajaan bakal menambah jumlah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dalam Belanjawan 2015.

“Kalau kekal RM700, kerajaan akan tambah RM300 lagi menjadikan sekurang-kurangnya BR1M pada tahun depan RM1000”.

Meskipun Ahmad Maslan cuba memberi gambaran “kerajaan yang baik, bertanggungjawab dan menjaga rakyat”, namun beliau tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa tambahan RM300 itu sebenarnya bayaran khas pelaksanaan GST yang dijangka akan menyumbang kepada peningkatan inflasi 1.8 peratus.

Kenyataan Ahmad Maslan bahawa kerajaan tanggung tiga bulan kehidupan rakyat Malaysia nyata jauh lari daripada realiti kehidupan majoriti rakyat. Kaedah beliau menjumlahkan semua subsidi kerajaan: gula, tepung gandum, minyak masak, diesel dan petrol, serta BR1M memberi anggaran jumlah RM1500, iaitu satu angka yang dianggap cukup untuk makan minum empat orang satu keluarga dengan RM500 sebulan.

Atas premis RM500 sebulan, saranan beliau supaya “rakyat hanya perlu mencari mata pencarian selama sembilan bulan dan selebihnya ditanggung BN” adalah cukup tidak bertanggungjawab.

Pertamanya, cadangan ini mengetepikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM830 ke bawah. Berdasarkan PGK yang sedia ada, perbelanjaan harian seseorang dianggarkan RM6 sehari. Bagaimanapun, angka ini adalah tidak realistik jika dibandingkan dengan BR1M yang menganggarkan perbelanjaan harian seseorang itu RM20 sehari. Apatah lagi RM500 sebulan yang dianggap cukup oleh seorang timbalan menteri kewangan?

Keduanya, cadangan itu adalah tidak bersifat progresif dan produktif kerana ia tidak membantu rakyat terutamanya mereka yang susah untuk “keluar daripada kemiskinan” (graduation), sebaliknya menggalakkan rakyat untuk hanya bekerja selama sembilan bulan. Kenyataan ini seharusnya diambil serius kerana ia datang daripada seorang timbalan menteri kewangan dalam konteks Malaysia sedang dalam perjalanan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dengan kadar pertumbuhan ekonomi tahunan 6 peratus. Apakah kesan ke atas ekonomi negara dan persepsi pelabur jika rakyat hanya bekerja sembilan bulan setahun?

Sesungguhnya, samada RM1500 untuk tiga bulan atau RM500 sebulan, ia bukanlah pendapatan boleh guna. Sebaliknya, ia adalah subsidi kerajaan yang hanya akan dinikmati jika seseorang itu berbelanja ke atas barangan harian seperti tepung gandum, gula, diesel dan petrol. Maka, adalah tidak tepat untuk menjumlahkan semua subsidi ini dalam bentuk pendapatan. Selain itu, pertambahan pendapatan yang disebabkan oleh BR1M juga bersifat sementara, manakala kenaikan kos hidup adalah fenomena berterusan.

Sebagai alternatif, untuk jangka panjang, kerajaan perlu menyediakan kemudahan sosial dan menjamin keadilan sosial bagi membantu golongan miskin, khususnya miskin tegar, keluar daripada kemiskinan, di samping menstruktur semula dasar industri bagi meningkatkan pendapatan golongan menengah. Dalam manifesto Pakatan Rakyat, dasar dan program seperti pendidikan percuma untuk semua, rumah selesa mampu milik, skim perintis rakyat, caruman wanita Malaysia, tabung inovasi, rombakan insentif percukaian dan gaji minima telah digariskan untuk mengatasi halangan struktural kemiskinan.

Langkah-langkah ini wajar dan penting untuk menyediakan golongan miskin berdikari agar tidak terjerumus semula ke dalam kancah kemiskinan tanpa subsidi bantuan tunai kerajaan.

Jika tidak, maka BR1M bagaikan umpan golongan pemerintah untuk meraih sokongan politik dengan mengekalkan golongan miskin dalam kemiskinan.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .