Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang jika undi popular terhadap Umno-Barisan Nasional (BN) terus merosot semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sekaligus gagal mengekalkan kuasa pada masa akan datang.
Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, zaman senang Umno sudah berlalu apabila parti itu kini terpaksa berdepan cabaran perubahan minda pemikiran masyarakat Melayu.
"Kekalahan teruk di Selangor bukan sahaja tidak diduga tetapi menyedihkan.
"Johor dulunya kubu kuat Umno, tetapi pada PRU lalu, terbukti kubu itu ditembusi, 18 kerusi jatuh, tidak pernah berlaku dalam sejarah," katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Putrajaya di Menara Seri Wilayah Putrajaya, malam ini.
Walaupun BN berjaya mempertahankan Putrajaya dengan menawan 133 daripada 222 kerusi parlimen pada PRU13 tahun lalu, tetapi undi popular menunjukkan 52% sokongan rakyat berpihak kepada Pakatan Rakyat (PR) manakala 48% BN.
Akuinya, perkara itu merupakan isu besar jika Umno masih mengamalkan strategi sama kerana harapan orang Melayu terhadap parti itu tidak lagi sama seperti dahulu.
Kata Muhyiddin, walaupun pelbagai bantuan diberikan dan dasar kerajaan dilaksanakan, rakyat masih rasa tidak mencukupi dan semua itu tidak memberi impak terhadap diri mereka.
Malah katanya, suara rakyat kini termasuk melalui badan bukan kerajaan (NGO) lebih lantang daripada dulu, seolah-olah tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan kerajaan.
Jelasnya, situasi itu sudah cukup menggambarkan sokongan rakyat terhadap Umno semakin merosot.
"Keadaan ini menyebabkan kami berfikir bagaimana harus kita lakukan supaya dapat terus kekalkan kuasa, bukan sahaja untuk masa depan tetapi selama-lamanya," katanya.
Katanya, keadaan itu merisaukannya dan beliau menggesa Umno-BN mempertingkatkan usaha mendekati pengundi dan masyarakat Melayu.
"Bila orang Melayu tak puas hati, saya risau kerana kita kita adalah pejuang untuk orang Melayu," katanya.
Timbalan pengerusi BN itu turut menasihati ahli parti tidak menyekat peluang kepada anak muda untuk naik dalam Umno apabila membangkitkan isu cabaran mendepani masa hadapan.
"Saya cuma mengingatkan ini adalah masa yang sukar.
"Hendak terus kekal relevan, kita mesti memahami pembaharuan dan bertindak berdasarkan keadaan semasa," katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, walaupun BN menang kerusi Parlimen Putrajaya, beliau berasa penjawat awam kebelakangan ini melihat Umno dengan pandangan yang serong.
"Barangkali kita tidak mendekati penjawat awam, sebab itu mereka pandang serong," katanya.
No comments: