Mohamed Azmin Ali hari ini memberi jaminan menguruskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor dengan telus dan amanah, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik Menteri Besar Selangor yang baharu pagi tadi.
Azmin yang disambut penyokong dan penduduk setempat di Kampung Klang Gate Baru, tempat beliau dibesarkan, berkata demikian sebaik sahaja bertemu ibunya mendapatkan restu.
"Saya berjanji akan menjaga keharmonian rakyat antara pelbagai kaum serta agama dan akan bekerja kuat.
"Saya juga berjanji akan menggalas tanggungjawab yang diberi dengan amanah dan berintegriti," kata Azmin sebaik bertemu dengan ibunya.
Beliau juga berkata wang rizab RM3 bilion akan dimanfaatkan sebaiknya untuk kepentingan rakyat Selangor dan akan dijaga dengan amanah serta bertanggungjawab.
"Setiap sen dana negeri Selangor adalah milik rakyat, dana itu mesti diterjemahkan menerusi program pembangunan untuk rakyat negeri Selangor," kata beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa.
Kira-kira 100 penyokong dan penduduk tempatan mula berkampung di rumah ibunya seawal jam 12 tengahari menanti ketibaan Azmin selepas selesai majlis mengangkat sumpah di Shah Alam.
Azmin sebelum itu menunaikan solat Zohor di masjid berhampiran rumah ibunya sebelum berjalan kaki diiringi penyokong dan penduduk tempatan.
Sebaik tiba di perkarangan rumah, para penyokongnya melaungkan slogan reformasi dan lawan tetap lawan, simbolik perjuangan Azmin sepanjang berada dalam PKR dan setia dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya, Azmin berjanji akan menyelesaikan dengan segera isu melibatkan rakyat negeri Selangor selepas hampir dua bulan kemelut menteri besar berlarutan.
"Saya harap krisis ini dapat selesai segera dan kita hendak maju segera untuk laksanakan tugas dan tanggungjawab bagi memajukan rakyat negeri Selangor," katanya.
Antara isu dan perkara yang menjadi keutamaan Azmin sebaik saja masuk ke pejabat nanti adalah seperti isu sampah, jalan berlubang, masalah denggi dan keselamatan penduduk Selangor.
Beliau juga berjanji untuk memelihara keharmonian rakyat Selangor yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum, di samping mempertahankan agama Islam dan hak orang Melayu.
"Tuanku titah supaya saya menjaga keharmonian rakyat Selangor yang berwatak majmuk dan pelbagai kaum.
"Tuanku juga bertitah tentang isu keselamatan di Selangor supaya ditangani segera supaya rakyat rasa selamat tidak kira di mana berada," katanya.
Azmin, 50, mengangkat sumpah jawatan menteri besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 10.42 pagi ini.
Beliau mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih 6 tahun bermula 2008.
sumber
No comments: