Pengerusi SukaGuam itu berkata, suaka politik hanya boleh digunakan untuk alasan tertentu saja seperti kekacauan politik, kekejaman dan tindakan pemerintah yang berat sebelah.
Tidak wajar mana-mana negara memberi perlindungan kepada blogger itu hanya kerana semata-mata ingin membebaskan diri daripada tindakan undang-undang di Malaysia, katanya dalam akhbar Sinar Harian hari ini.
"Alvin mencabar kerukunan undang-undang dan kita tidak sepatutnya membiarkan rakyat Malaysia cari perlindungan suaka di luar negara.
"Malah, mengikut undang-undang, tiada kewajaran untuk mana-mana negara menerima Alvin berlindung di negara mereka," katanya dipetik akhbar itu.
Katanya, setiap rakyat Malaysia tertakluk kepada undang-undang negara ini di mana bagi setiap kesalahan yang dilakukan, hukumannya juga perlu dijatuhkan dalam negara sendiri.
Beliau berkata, kesalahan dilakukan Alvin tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan huru-hara dalam Negara.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera menghalang tindakan blogger seks itu yang dilihat mencemar imej negara.
"Tindakannya memberi imej buruk kepada kerajaan. Ia seolah-olah memberi gambaran kerajaan kita zalim dan kejam sehingga ada rakyat yang lari mendapatkan suaka.
"Kerajaan perlu bersikap tegas dengan negara yang diminta perlindungan terutamanya Amerika Syarikat (AS). Kerajaan mesti menghubungi duta AS menyatakan pendirian kerajaan dan minta mereka tahan Alvin di sana," katanya.
Baru-baru ini, portal Channel News Asia melaporkan Tan, 26, yang melarikan diri daripada diburu pihak berkuasa Malaysia dan Singapura mendakwa dia kini berada di AS bagi mendapatkan perlindungan suaka politik.
"Saya kini sibuk memulakan hidup baru di AS selain menanti perbicaraan akhir permohonan suaka saya. Saya di sini untuk mencari perlindungan politik daripada kezaliman Umno - semudah itu," katanya kepada koresponden CNA melalui laman Facebooknya.
Katanya, beliau mula memohon perlindungan suaka dari Amerika Syarikat pada Mei lepas apabila mula hilang daripada pandangan umum susulan daripada pembikinan sebuah dokumentari di Singapura.
Sementara itu, pihak berkuasa di negara ini akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) mengesan Tan untuk dibawa pulang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata blogger itu diperlukan bagi membantu siasatan berhubung status dan gambar dalam akuan Facebook miliknya yang menghina pemimpin negara dan memaki Umno.
"Dia (Tan) semakin biadap. Kita sudah buka kertas siasatan untuk kes ini. Kita juga berkerjasama dengan Interpol berhubung perkara ini," katanya kepada Sinar Harian.
Tan bersama pasangannya Vivian Lee berdepan dengan tuduhan jenayah mengikut Akta Hasutan dan Akta Penapisan Filem kerana memuat naik bahan kontroversi di Internet termasuk menghina umat Islam.
Selain memuat naik imej pornografi, pasangan itu juga mencetuskan kemarahan umat Islam apabila bertindak menyiarkan gambar mereka menikmati bak kut teh (sup herba babi) dengan menulis ucapan " Selamat Berbuka Puasa" pada bulan Ramadan tahun lepas.
Blogger seks itu dikenakan waran tangkap setelah gagal menyerahkan pasport miliknya kepada Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.
Tan juga tidak hadir pada sebutan semula kesnya iaitu pada 13 Jun dan 18 Julai lalu.
sumber
No comments: