Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini mempersoalkan pelaksanaan Akta Keharmonian Nasional yang kononnya digubal untuk melindungi isu- isu sensitif terutama hal membabitkan diskriminasi kaum dan agama.
Beliau berkata, tidak ada undang- undang yang boleh digubal untuk melindungi negara daripada diskriminasi kaum dan agama selagi isitilah kaum itu sendiri terus dimainkan dan digunakan.
"Dalam Akta Keharmonian Nasional salah satunya untuk melindungi hal-hal diskriminasi agama dan kaum tapi bagi saya, letaklah undang- undang apa sekalipun jika terus dinyatakan kaum itu sudah tentu ada wujudnya unsur perkauman," katanya pada satu forum Isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan di Kuala lumpur hari ini.
Katanya, untuk menjadikan negara bebas daripada unsur perkauman tanpa membabitkan hal sensitif , ia bukan harus dilakukan dengan penguatkuasaaan melalui pendekatan secara terus (engagement) kepada dalam diri individu itu sendiri.
Sementara itu Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menggesa para hakim yang mendengar kes Akta Hasutan bertindak lebih tegas dalam menjatuhkan hukuman.
Katanya penguatkuasaan itu diperlukan bagi membuat rakyat takut dan gerun untuk membuat kesalahan terutamanya dalam kes membabitkan perkauman dan hasutan.
"Sekarang ini hakim beri hukuman ringan dulu, bila pendakwa raya minta baru beratkan.
"Sekarang sudah tak boleh begitu. Patut mula jatuhkan hukuman penjara dulu kalau ada rayuan baru kurangkan.
"Negara ini kalau nak diselamatkan kena ada kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang," katanya.
Susulan daripada pendakwaan besar-besaran Akta Hasutan, Majlis Peguam Malaysia semalam meluluskan usul menasuhkan akta tersebut termasuk mengadakan perarakan berjalan kaki (peaceful walk).
Terbaru, aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim dijatuhkan hukuman penjara satu tahun kerana menghasut.
Adam Adli didakwa kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan pada satu forum 13 Mei tahun lalu apabila dia dikatakan mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Bulan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer, juga seorang peguam, didakwa dengan dua pertuduhan hasutan berasingan ekoran kenyataan beliau "Umno celaka".
Turut didakwa dengan termasuk peguam dan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran daripada PKR, dan Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad.
Pada 2 September, pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Dr Azmi Sharom didakwa mengikut Akta Hasutan kerana kenyataan dalam sebuah artikel ketika beliau memberi komen mengenai krisis Perlembagaan Perak 2009 yang diterbitkan dalam portal berita pada 14 Ogos.
Ahli Politik Sabah David Orok didakwa mengikut undang-undang yang sama pada 3 September kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad dalam Facebook dua bulan lalu.
Penceramah dan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussein mengaku tidak bersalah pada Rabu minggu lalu kerana membuat kenyataan berunsur hasutan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam posting Facebook pada November tahun lepas.
Peguam hak asasi manusia Edmund Bon juga sedang disiasat kerana didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan yang dibuat dalam satu artikel di laman web The Malaysian Insider pada Januari.
No comments: