Tujuh lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah rumah di Seremban, antara 11 hingga 15 September lepas.
Kesemua tertuduh berusia antara 18 hingga 24 tahun berkenaan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.
Empat daripada mereka -- Muhammad Amsyar Mohd Ali, 24, Mohammad Shamrin Mohd Safik Suresh, 22, Mohd Fareez Jamil, 19, dan Muhammad Farih Surrmay, 19, dituduh merogol wanita itu antara pukul 3 pagi hingga 10.30 malam, 11 September lepas.
Dua lagi, A. Thanesh, 18, dan Mohd Firdaus Jamsari, 18, pula dituduh merogol wanita itu antara pukul 3 petang hingga 8 malam, 13 September manakala seorang lagi tertuduh Muhammad Naim Haris, 19, dituduh melakukan perbuatan sama antara pukul 5 petang hingga 5.30 petang, empat hari lepas (15 September).
Kesemua mereka didakwa merogol wanita itu di sebuah unit rumah pangsa di Seremban.
Jagjit Singh menetapkan 20 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh, masing-masing ikat jamin antara RM3,000 hingga RM6,000 dengan seorang penjamin.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
No comments: