» »Unlabelled » MTEM bidas McDonald’s guna kakitangan Melayu raih simpati


Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) hari ini menyelar tindakan McDonald's Malaysia menggunakan pemilik dan kakitangan kaum Melayu untuk meraih simpati orang ramai.

Ketua pegawai eksekutifnya Nizam Mahshar berkata kesan yang dialami restoran McDonald's tidak boleh dibandingkan dengan kekejaman yang berlaku di Gaza.

"Apa yang dialami restoran McDonald's di Malaysia sememangnya tidak boleh dibandingkan dengan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza.

"Pada masa yang sama juga, kami tidak bersetuju dengan cara McDonald's mempergunakan pemilik restoran dan kakitangan Melayu sebagai wajah untuk meraih simpati orang ramai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga mencabar McDonald's supaya membuktikan alasan mereka yang kononnya mengambil berat kebajikan kakitangannya.

"Kami di MTEM ingin memastikan sekiranya McDonald's menguar-uarkan ia mengambil berat perihal kebajikan kakitangannya, francais multinasional ini perlu membuktikan ia dilakukan dengan adil dan bersungguh-sungguh," katanya.

Nizam berkata, pada 2010, McDonald's Malaysia mengumumkan hasil jualan RM1 bilion dengan kadar pertumbuhan 20% setiap tahun.

Secara statistik, jumlah hasil jualan 2014 mampu mencecah janaan sebanyak RM1.8 bilion.

"Berapa banyak pula daripada jumlah ini dinikmati kakitangannya di belakang kaunter," katanya.

Nizam juga mempersoalkan baki keuntungan lain yang diperoleh McDonald's Malaysia disalurkan untuk tujuan yang tidak diketahui.

"Anggaran mudah menunjukkan sekiranya McDonald's mempunyai tenaga kerja seramai 12,000 orang dan mereka bekerja 150 jam sebulan selama setahun dengan kadar gaji RM5 sejam, jumlah penggajian tenaga kerja McDonalds hanya RM108 juta.

"Ini bermakna hanya 6% jumlah pendapatan tahunan McDonald's Malaysia diagihkan kepada pekerjanya. Ke mana 94% yang lain disalurkan," katanya.

Sementara itu, Nizam juga membidas McDonald's Malaysia yang menonjolkan kakitangan mereka kebanyakannya Melayu tetapi pihak atasan lebih banyak berdiam diri.

"Unit perhubungan awam McDonald’s hanya mengetengahkan orang Melayu sebagai majoriti kakitangan bawahan restoran, tetapi mengambil polisi berdiam diri mengenai statistik keseluruhan rantaian bekalan dan ketua atasan mereka.

"Kami juga minta McDonald’s mendedahkan siapakah pihak sebenar dalam organisasi yang mendapat faedah keuntungan daripada jualannya," katanya.

Bagaimanapun, pendirian tegas MTEM tersebut tidak bermakna mereka menyokong tindakan boikot yang keterlaluan.

Nizam mengecam pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil tindakan kekerasan dengan mengancam dan mengugut pekerja restoran tersebut.

"Kami juga mempersoalkan para pemboikot yang bertindak kasar," katanya.

Kempen boikot McDonald's dijalankan selepas syarikat francais makanan segera tersebut didakwa menyalurkan dana kepada konflik di Gaza.

Bagaimanapun, McDonald's Malaysia menafikan penglibatan mereka dalam sebarang konflik dan peperangan.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .