» » Kebencian melulu memburukkan Malaysia


Adakah satu jenayah menyukai Israel? Itu persoalan utamanya selepas seorang pelajar sekolah menengah di Pulau Pinang disiasat polis kerana mengklik “Like” pada laman Facebook bernama "I Love Israel" (Saya Sayang Israel).

Perbuatan itu tidak akan disedari jika gurunya tidak berkongsi posting pelajar Tingkatan Lima itu dan mengkritiknya. Ia mengundang lebih banyak kritik dan ugutan daripada pengguna Facebook lain.

Terdapat seruan memboikot pelajar itu dan seorang pengguna Facebook menulis komen yang pelajar itu harus dibakar.

Jadilah ia kes polis sekarang, dengan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengatakan kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Apa jenayahnya? Sejak bila satu “Like” di laman sosial Facebook menjadi perkara jenayah atau drama di sekolah? Kenapa seorang pelajar 17 tahun dianiaya kerana apa yang dilakukannya di Facebook?

"Dia sekarang hidup dalam ketakutan hanya kerana suka laman itu. Dia menutup akaun Facebooknya dan membuat laporan polis semalam.

"Pelajar itu dan gurunya memberi kenyataan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Selatan," kata Rahim, menambah guru dan pelajar lain di sekolah mereka juga akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Adakah polis tiada kerja lain, sehingga terpaksa menyiasat apa yang pelajar sekolah lakukan di laman jaringan sosial? Adakah semua rakyat Malaysia mesti membenci Israel dan kalau tidak, mereka akan dicaci dan disiasat polis?

Apa jadi dengan usaha menggalakkan perdebatan atau memberi penjelasan yang lembut kepada pelajar tentang Israel menindas rakyat Palestin? Apa jadi dengan guru hanya melihat kepada kegiatan pelajar di kelas dan bukan di luar?

Apa jadi dengan akal fikiran yang waras, satu “Like” di Facebook bukan kes polis atau tragedi negara atau sekelumit isu pun dalam kehidupan sebenar?

Kenapa seorang pelajar sekolah disiasat polis kerana isu ini? Tidakkah dia dibenarkan mempunyai pemikiran sendiri atas perkara tersebut? Adakah di negara ini kebencian itu ditetapkan tanpa sebarang penjelasan?

Kebencian melulu ini membuatkan negara kita bertambah buruk. Dan ini bukanlah kes pertama yang menerima akibat daripada kejahilan dan kebencian. Pemandu wanita bernama Kiki dibuli teruk di alam siber selepas kejadian di Kuantan pada bulan puasa.

Adakah dia layak terima layanan sedemikian? Adakah pelajar Tingkatan Lima itu perlu melalui siasatan polis di bawah Akta Hasutan kerana menyukai Israel? Apa jenayahnya?

Mungkin jenayahnya ialah pada kegagalannya berfikir seperti biri-biri, seperti mana pelajar Malaysia lain setelah bertahun belajar secara menghafal dan hanya mendengar penerangan guru tentang beberapa perkara. Tetapi, orang beginilah yang dimahukan syarikat – mereka yang boleh berfikir, bukan hanya mengikut.

Terdapat banyak laporan negatif tentang sistem pendidikan di negara kita, tetapi guru di Pulau Pinang ini mencipta kejahilan maksimum kerana memperbesarkan isu serang pelajar menyukai Israel di Facebook

Tiada undang-undang terhadap perkara itu di Malaysia. Bukan satu tindakan berunsur hasutan atau satu jenayah kerana menyukai satu negara di Facebook. Dalam Akta Komunikasi dan Multimedia juga perkara ini tidak wujud.

Apa yang guru itu lakukan menunjukkan betapa kebencian melulu memburukkan Malaysia. Kita dipaksa membenci manusia dan negara. Kita tidak berupaya berfikir sendiri atau mempengaruhi orang lain yang tidak mampu berfikir, tanpa menggunakan proses undang-undang.

Kita menjadi masyarakat yang tidak bertolak ansur di mana mereka yang tidak mengikut suara majoriti akan dilayan dengan buruk atau disiasat polis.

Kita membuatkan diri wujud hanya kerana ada akaun media sosial, bukan kerana orangnya yang membuatkan media sosial itu wujud. Dan sekarang ada guru yang mengintip pelajar melalui akaun Facebook mereka.

Bagus. Guru sekarang adalah pengasuh kanak-kanak, bukan pendidik.

Dan pelajar kita mesti jadi seperti biri-biri, bukan rakyat Malaysia yang boleh berfikir sendiri tentang kehidupan dan faham yang satu "Like" di Facebook bukan penyebab disiasat polis.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .