Seorang lagi exco PAS Selangor hari ini mempertahankan tindakannya kekal dalam barisan exco bagi menghalang Umno mengawal sumber kewangan negeri.
Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, Sallehen Mukhyi berkata keputusan empat exco PAS itu sebagai benteng akhir menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Beliau turut menggesa orang ramai tidak melihatnya sebagai pengkhianat kerana berdasarkan Perlembagaan negeri hanya empat exco diperlukan bagi membolehkan kerajaan negeri berfungsi.
Empat exco tersebut adalah Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Sallehen.
Awal hari ini, Exco PAS Dr Halimah Ali menafikan beliau dan tiga rakan sejawatnya daripada PAS berkonspirasi dengan Khalid untuk melengahkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Tiada perbincangan seperti itu. Jika Khalid ada berbincang dengan exco lain, itu saya tak tahu," katanya.
Bekas exco Selangor daripada DAP Datuk Teng Chang Kim semalam mendakwa 'konspirasi' berkenaan membolehkan Khalid kekal di pejabatnya sehingga November ini.
Khalid pada Selasa memecat 5 exco daripada PKR dan DAP dan membiarkan 4 exco lain daripada PAS.
Lima yang dipecat itu adalah Teng, Elizabeth Wong, Ean Yong Hian Wah, V Ganabatirau dan Daroyah Alwi.
Adun PKR Rodziah Ismail yang berada di luar negara pada ketika itu menyerahkan surat peletakan jawatan sebaik tiba di tanah air.
Berikutan pemecatan itu, DAP dan PKR menggesa 4 exco PAS tersebut memboikot mesyuarat exco pada Rabu sebagai tanda solidariti namun mereka enggan berbuat demikian.
Sallehen melalui kiriman dalam laman Facebook PAS Selangor hari ini berkata jika mereka daripada PAS meletak jawatan, Umno akan mengambil alih pentadbiran negeri.
"Jika kami memboikot kerajaan negeri, istana akan melantik empat exco Umno walaupun hanya untuk sidang DUN akan datang.
"Apabila DUN dibubarkan, Umno akan menjadi kerajaan dan dana RM3.2 billion akan berada di tangan mereka," katanya.
Beliau berkata, jika perkara itu terjadi, ia seperti menyerahkan kerajaan negeri kepada Umno.
"Kami hanya mengikut arahan parti," katanya.
Khalid yang merupakan Adun Pelabuhan Klang berkata pada Isnin berkata beliau mempunyai majoriti dalam DUN dan meyakinkan Sultan untuk mengekalkannya sebagai menteri besar.
Bagaimanapun, kira-kira 30 Adun Selangor semalam mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Khalid sebagai menteri besar. Di antara mereka adalah Adun PAS Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).
Mesyuarat penggal ketiga dijadualkan akan berlangsung pada November ini.




No comments: