» » 'Universiti dibisukan, tekanan politik adalah realiti'


Budaya ancaman dan tekanan supaya menjadi pak turut kepada tuan politik sejak berdekad lalu menjadikan universiti awam hilang sentuhan dan anti-intelektual, kata ahli akademik.

Ahli akademik memberitahu The Malaysian Insider universiti tidak lagi memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat, sebaliknya dibisukan dan diancam.

Malah, tekanan politik adalah realiti yang dihadapi universiti supaya tunduk dan diberikan hadiah dengan jawatan.

Selain itu, amalan kronisme dan perkauman juga menyebabkan ramai pengkaji berkelayakan ketinggalan tidak menerima kenaikan gaji dan pangkat, tetapi mereka yang rapat dengan pentadbiran universiti menerima imbuhan.

Sekiranya perkara ini berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti institusi pendidikan awam negara runtuh dan menyebabkan sijil yang diperolehi tidak lagi bernilai.

Tekanan langsung dan tidak langsung

Ahli akademik juga memberitahu, mereka sering dipanggil menghadap pentadbiran universiti apabila kajian didapati kritikal terhadap polisi kerajaan.

Mereka juga diberi surat tunjuk sebab, serta diarahkan menurunkan nada kritikan malah ada juga terpaksa menjelaskan kepada naib canselor secara bersemuka.

Seorang ahli akademik di Lembah Klang berkata, beliau menerima surat tunjuk sebab hanya kerana kajian melibatkan kumpulan agama minoriti yang dihasilkannya.

Ahli akademik tersebut mengkaji tuduhan pihak bekuasa agama tempatan yang menghalang hak kumpulan minoriti untuk beribadat. Pihak berkuasa universiti menolak usaha ahli akademik untuk menjalankan kajian dengan kumpulan mewakili komuniti agama itu.

"Saya rasa surat itu bertujuan tidak beri keselesaan kepada saya. Ia beri kesan kepada keupayaan saya untuk fokus dalam kajian.

"Banyak juga ahli akademik menerima layanan sama. Ada juga yang bersara," kata pengkaji dari universiti di Selangor itu.

Kebanyakan ahli akademik yang ditemubual enggan mendedahkan identiti mereka bimbang masa depan dengan institusi mereka sedang berkhidmat terjejas.

Seorang ahli akademik kanan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, campur tangan politik berlaku dan satu seminar pada 2001 dibatalkan kerana ketika itu bakal berlangsungnya pilihan raya negeri Sarawak.

"Pada 1997, ada arahan dalaman di mana kami tidak boleh memberi kenyataan mengenai jerebu tahun itu," kata ahli akademik Unimas dan ketika itu darurat diumumkan kerana jerebu.

"Ada setengah ahli akademik yang bercakap secara kritikal kepada umum akan dipanggil untuk beri penjelasan kepada naib canselor," kata pensyarah itu, sambil memberitahu pihak atasan universiti tidak senang dengan kenyataannya.

Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan tindakan itu dikatakan ada campur tangan politik daripada kementerian.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah juga mendakwa Kementerian Pendidikan memaksa Redzuan melepaskan jawatannya.

UMcedel menimbulkan kemarahan Putrajaya dengan pelbagai penemuan kaji selidik terhadap politik Malaysia yang menunjukkan pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin menafikan kementerian mendesak Redzuan meletakkan jawatan, sambil menambah keputusan menyingkir beliau dibuat selepas mengambil kira kepentingan universiti itu, dan bukan disebabkan sebarang tekanan dari luar.

Kesetiaan mengatasi merit

Pengkaji dan pensyarah yang kritikal tidak menerima kenaikan pangkat dan gaji, sebaliknya mereka yang tidak kritikal menerima ganjaran.

Perkara ini menimbulkan satu lagi budaya supaya tunduk. Ahli akademik yang rapat dengan ahli politik menerima ganjaran dan diberikan jawatan penting dalam universiti, kata pensyarah Unimas.

Profesor Zaharom Nain dari Universiti Nottingham, Kampus Malaysia berkata, budaya tersebut melahirkan ahli akademik "cari makan".

Zaharom yang sudah 20 tahun berkhidmat di Universiti Sains Malaysia berkata, ahli akademik muda dan tidak berpengalaman dalam jurusan sains sosial dan seni mengamalkan budaya tapisan dalam hasil kerja mereka.

"Ia wabak yang mula menjalar dalam masyarakat Malaysia, ia mula pada 1980 kerana kawalan politik dan sosial yang ketat masa itu.

"Ia melahirkan budaya takut dan kepatuhan dalam semua aspek termasuk pendidikan hingga kewartawanan dan pentadbiran awam," katanya.

Malah, memburukkan keadaan adalah apabila mereka yang bekerja keras juga dipinggirkan.

"Seorang ahli akademik kanan beritahu saya tidak kira sebaik mana kajian itu, ia masih tidak berguna kerana tidak akan menerima kenaikan pangkat," katanya.

Zaharom berkata, beliau melihat sendiri bagaimana ahli akademik dipinggirkan hanya kerana berbeza kaum.

"Saya kenal seorang rakan wanita yang menerbitkan banyak kajian berbanding pensyarah lain, tetapi beliau masih tidak naik pangkat hanya kerana jenis kaum beliau,” katanya.

Ahli akademik percaya untuk memartabatkan semula universiti awam, ahli politik mesti tidak terlibat dalam pentadbiran universiti dan pendidikan, biarkan ia ditentukan berdasarkan merit dan keupayaan.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .