» » '‘Soup kitchen’ diberi tempoh hingga Isnin untuk pindah'


Badan bukan kerajaan (NGO) Soup kitchen yang berpusat di Kuala Lumpur diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan gelandangan dan pengemis di ibu negara.

Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada golongan gelandangan menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk terutama daripada aspek kebersihan.

"Mengenai gelandangan ini kita bukan tidak cuba carikan kerja untuk mereka. Bila kita beri mereka kerja mereka tidak mahu kerana adanya NGO yang memudahkan mereka mendapatkan makanan.

"Imej bandar raya terjejas teruk, bukan saja jalan kotor tetapi ada antara mereka penghidap HIV, penagih dadah," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Adnan berkata, meskipun tindakan tersebut kelihatan kejam namun ia terpaksa dilakukan untuk mendisplinkan masyarakat.

Katanya, NGO berkenaan juga perlu mencari lokasi lain luar dari pusat bandar sekiranya mahu memberikan makanan percuma.

Tengku Adnan berkata, DBKL juga menetapkan jarak dua kilometer dari pusat bandar bagi NGO untuk memberikan makanan percuma.

"Kalau mereka nak bagi makan jangan bagi makan dalam bandar paling kurang dua kilometer dari pusat belah Lot 10," katanya.

Beliau juga mengakui tindakan itu akan menyebabkan masyarakat tidak berpuas hati akan tetapi menegaskan ia adalah demi kebaikan.

"Saya tahu orang tidak gembira tapi percayalah ini untuk kebaikan. Jangan tempelak saya, tuduh saya bukan Islam kerana halang orang bagi sedekah.

"Kalau sedekah ada caranya, kita ada masjid, majlis agama Islam. Kalau bukan Islam di gereja, kuil bagi saja dan mereka akan agihkan," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan DBKL juga tidak akan memberi muka kepada kegiatan peminta sedekah.

Beliau berkata pihaknya mendapati kebanyakkan peminta sedekah bukan merupakan warga Malaysia.

"Kerana itu dalam masa satu atau dua minggu kita akan buat standard prosedur penguatkuasaan dengan mengenakan bayaran saman kepada pemberi sedekah."

Katanya pihaknya akan mengeluarkan resit disertakan dengan nombor bersiri dan ia perlu dibayar serta-merta.

"Ini semua salah pembangkang suka putar belitkan kenyataan saya kata saya tidak Islamik hey... nak bagi sedekah bukan cara tepi jalan.

"Pembersihan peminta sedekah turut dilakukan negara Islam seperti Mekah dan Madinah.‎ Sekarang apa yang berlaku di sana terjadi di sini, di kompleks beli belah Pavillion dan Starhill," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .