» » Perihal lelaki yang perempuan perlu tahu


Lelaki yang berselingkuh, punya sejuta alasan di dalam sakunya. Wanita pula, yang dideritai suami dalam perselingkuhan; haruskah bertahan atau mencari jalan keluar?

SMS itu berbunyi begini: ‘Salam. Awak, abang buat perangai lagi. Kali ini dengan isteri orang. Awak, saya dah penat, awak, untuk hadapinya sekali lagi…’

Ada teman menamai saya ‘tong terapi’; saya tidak tahu apakah itu satu penghormatan, atau beban. Penghormatan; kerana dalam kalangan teman, mereka mempercayai saya sebagai seseorang yang terpercaya.

Beban; mungkin kerana saya perlu memikul sama ujian atau derita yang digalas. Benar, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Kadang kala lelaki (kerana di kolum ini lelaki diberi peluang berkata-kata) tidak menghadapi apa-apa masalah dalam hidup. Paling-paling masalah yang mereka alami hanyalah di pejabat.

Katakanlah politik pejabat yang ganas. Lelaki juga mungkin berdepan dengan masalah kelampauan nafsu terhadap toys for big boys. Maka bertukar telefon bimbit canggih, kereta mewah, pakaian berjenama menjadi perlumbaan.

Jika itu masalah suami atau tunang anda, maka anda boleh menarik nafas lega. Saya kira masalah yang paling celaka buat seorang lelaki hanya ada dua:

Pertama, wang; kedua, perempuan. Kadang-kala ia berkaitan. SMS yang anda baca di atas adalah contoh masalah utama yang dihadapi lelaki. Yang saya maksudkan ialah lelaki yang sudah berkeluarga.

Lelaki memang aneh. Selalu orang mengatakan makhluk yang aneh ialah perempuan. Tidak benar sebetulnya.

Yang paling aneh masih lelaki. Perempuan bukan makhluk aneh. Sebaliknya makhluk istimewa.

Kerana itulah perempuan dianggap mempunyai multi-focal atau titik berahi yang bertabur di setiap anggota badannya. Lelaki adalah makhluk uni-focal, konon, titik berahi bertempat dan berpusat di satu anggota; di situ, yang itu.

Di situlah jatuh bangunnya. Kerana itu kuasa lelaki sukar dikawal, kerana ia cuma ada satu. Dan satu itu mahu dihala ke sana dan sini.

Memang agama datang merapikan. Adanya perkahwinan, kemudian poligami; tetapi agama tetap melarang perselingkuhan.

Lelaki yang tidak terkawal ini akan tetap mewajar kecurangan. Mungkin isterinya (setelah memberi lima anak) tidak lagi dianggap mendamai jiwa.

Mungkin isterinya (setelah berkorban membayarkan yuran pengajiannya) tidak lagi dianggap pengaman kalbu. Begitu sukma lelaki, mudah libang-libu.

Alasannya pelbagai. Saya kasihani teman yang menghantar SMS di tengah malam itu. Serasa getirnya.

Kalau suaminya teman saya, dan dia berpaling mendatangi diri untuk meminta nasihat, saya akan membuat berbagai-bagai analogi untuk menyedarkan gelora yang bergolak di hatinya.

Begini, ada seorang teman yang sudah sempurna. Isterinya jelita, anak-anak comel belaka, karier stabil, yang digunakan semua berjenama akan tetapi dia masih mahu mencari-cari.

Kerana, ya, memang dasar lelaki. Entah bagaimana dia tanpa segan, tidak disedari, dia tersebut di depan saya.

Maka saya pun mengirimi SMS yang berbunyi: ‘Ada banyak cincin yang cantik di luar sana, akan tetapi cincin yang cantik tetap tersarung di jari.’ Dia pegun lama, terpana dan terasa. Dia menginsafi diri.

Memang sukar menebak hasrat lelaki. Kadang-kala kita tidak memahami mereka. Lelaki bukan semua boleh dibaca seperti watak hero dalam filem Hindustani (tentu bayangan Shah Rukh dan Amir Khan menjelma bukan?).

Dan bukan semua lelaki boleh dikira seperti watak Jack dalam Titanic. Bukan pula semua lelaki seperti ‘lelaki ini’ dendangan Anuar Zain. Saya kira tidak ada ubatnya untuk lelaki yang mencari perempuan. Itu masalah yang dicari sendiri.

Dulu, saya ada seorang guru. Kalau saya menyebutkan namanya semua orang akan tahu. Guru saya ini ditawarkan oleh sebuah kumpulan agama seorang perempuan muda untuk diperisterikan. Tentu, guru itu boleh memilih untuk menikahinya. Namun guru saya itu adalah jenis lelaki yang berfikir.

Sang pemikir tentu merenung pengorbanan isteri. Guru saya memberitahu, “Saya memilih untuk tidak menikahi isteri muda kerana saya terbayangkan pengorbanan isteri saya mencuci pakaian orang sewaktu saya belajar di universiti dahulu!”

Nah, lihat tidak semua lelaki rakus semata. Sebetulnya lelaki dengan anakanak saat ingin berpacaran haruslah mengenang wajah isterinya.

Pernahkah ditanyai bagaimana sakitnya bersalin? Seorang teman saya memberitahu sakitnya bersalin seperti seekor kuda di kiri meregang dan ada kuda yang lain menarik di sebelah kanan, “Saya bayangkan tubuh saya akan terkoyak dan terbelah dua.”

Seorang lagi teman menyatakan, “Sakitnya bersalin seperti gergaji panas dibakar di api kemudian digunakan untuk memotong bahagian badan saya ini.”

Dan gambaran ngeri itu diberitakan kepada sang suami. Di mata suami terbayang pengorbanan sedemikian rupa sehingga setiap kali digodai perempuan lain, bayangan ngeri dan kebahagiaan rupa seorang anak tetap terkerlip di mata.

Masalah lain lelaki seperti saya nyatakan ialah wang. Saya paling anti lelaki yang bergoyang kaki dan isterinya menanggung rezeki. Saya jelak dan jengkel dengan lelaki begini.

Dan saya tidak faham mengapa ada lelaki dayus semacam ini. Saya ada seorang teman. Suaminya jenis mementing diri.

Kerana saya mengetahui ‘laki’nya serupa itu, saya sampai tidak mahu menjejakkan kaki ke kediamannya. Kerana meluat barangkali.

Sang suami sering menggunakan kelebihan isteri sebagai seorang yang berpekerjaan tetap untuk meminjam kredit itu dan ini daripada bank. Hasilnya tiada. Yang ada ialah hutang bertampuk.

Isterinya harus mencari wang lebih. Siang hari menjadi guru. Malam hari berniaga di pasar malam untuk membolehkan hutangpiutang dilangsaikan.

Si suami, di rumah memasak sekadarnya untuk diri dan kemudian berbualbual dengan kawan-kawan sejenis di kedai kopi. Bapa sang isteri mengamuk.

Sang lelaki kecut perut, tidak pernah berani pulang ke kampung halaman isteri. Sehinggakan saat isterinya hendak bersalin anak kedua, dia sanggup melepaskan isterinya memandu seorang diri dengan anak pertamanya untuk pulang melahirkan anak.

Bayangkan jenis lelaki seperti ini. Lelaki hanya ada dua masalah. Duit dan perempuan.

Kalau anda perempuan, anda carilah lelaki yang bebas dan merdeka daripada kedua-dua masalah ini. Selagi tiada anda temui selagi itulah anda harus terus memohon dan berdoa kepada Ilahi.

Memang lelaki makhluk yang aneh. Lelaki yang sejati sudah kian pupus.

Dan yang saya maksudkan sebagai lelaki sejati bukanlah lelaki yang tulen lelakinya tetapi lelaki yang tidak memperdayakan isteri untuk memuaskan yang satu, iaitu hawa nafsu.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .