» » PAS dakwa Deepak hutang Bank Rakyat RM215 juta tanpa faedah


Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa hutang ahli perniagaan Deepak Jaikishan kepada Bank Rakyat bukan RM32 juta, tetapi sebenarnya berjumlah RM215 juta.

Mahfuz berkata, semakan peribadinya mendapati RM32 juta itu adalah baki pinjaman daripada syarikat Carpet Tile Sdn Bhd milik Deepak, sedangkan ahli perniagaan itu juga pernah membuat dua lagi pinjaman berlainan kepada bank berkenaan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Deepak turut membuat pinjaman berjumlah RM198 juta melalui syarikat perumahan miliknya, Radiant Splendour Sdn Bhd dan pinjaman peribadi RM40 juta.

"Apa yang mengejutkan Deepak dan syarikat tersebut gagal menjelaskan ketiga-tiga pinjaman berdasarkan terma dalam perjanjian bagi setiap pinjaman sehingga satu perjanjian penyelesaian menstruktur semula semua pinjaman tersebut dibuat," katanya kepada pemberita, selepas menyerahkan memorandum kepada Bank Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

"Ini bermakna Bank Rakyat hanya memungut hutang daripada Deepak tanpa ambil sebarang keuntungan, dan tiada denda RM4.62 juta dikenakan kepada Deepak," katanya.

Mahfuz turut menuntut Bank Rakyat menjawab enam persoalan antaranya alasan bank berkenaan tidak mengenakan denda lewat kepada Deepak berikutan kelewatan membayar balik pinjaman.

Selain itu, Mahfuz mempersoalkan sekuriti atau cagaran yang dikenakan terhadap peminjam bagi menjamin pembayaran baki pinjaman.

"Sekiranya peminjam masih gagal mematuhi syarat pembayaran yang baru ini, apakah tindakan yang diambil Bank Rakyat," katanya.

Memorandum berkenaan diterima wakil Bank Rakyat, melalui Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Saliman Zainal.

"Kenapa Bank Rakyat berikan layanan istimewa kepada Deepak?" soal Mahfuz.

Bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendedahkan kepada The Malaysian Insider bahawa Deepak menggunakan pengaruh politiknya untuk menyelesaikan pinjamannya dengan campur tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Bank milik kerajaan itu tidak berada di bawah seliaan Bank Negara dan tidak termaktub kepada undang-undang perbankan negara.

Sabbaruddin mengatakan pada mulanya, ahli lembaga pengarah sudah menolak tawaran Deepak untuk menyelesaikan hutang tertunggaknya.

Deepak dikatakan menawarkan penyelesaian mudah bagi menyelesaikan baki pinjamannya dengan tempoh bayaran selama 10 tahun melalui 120 keping cek "post dated".

Sabbaruddin mengatakan selepas keputusan lembaga pengarah bank itu, Hasan tidak gembira dan enggan menandatangani kontraknya sebagai pengerusi bank yang berakhir pada 8 April.

Sabbaruddin juga mendakwa, menteri itu bertemu dengan Deepak tanpa pengetahuan Bank Rakyat pada Januari.

Selepas pendedahan Sabbaruddin, Bank Rakyat dalam satu kenyataan mengatakan elemen faedah tidak timbul dalam mekanisme kewangan Islam.

Bank Rakyat bagaimanapun tidak menafikan tuduhan Sabbaruddin.

Hasan bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insider, semuanya dilakukan mengikut prosedur.

Beliau turut mencabar mana-mana pihak membuktikan dirinya melakukan kesalahan kerana meyakinkan Bank Rakyat untuk memberikan kemudahan pembayaran pinjaman tersebut kepada Deepak.

Sehingga kini, Deepak masih belum memberikan respons kepada dakwaan Sabbaruddin.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .