» » Ops Aidilfitri: JPJ saman 36 pemandu bas ekspres


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman terhadap 36 pemandu bas ekspres yang melakukan pelbagai kesalahan menerusi Ops Aidilfitri 2014 bermula 21 Julai hingga semalam.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa JPJ Ahmad Nasir Abdul Gani berkata tindakan itu diambil hasil penyamaran anggotanya terhadap 198 bas ekspres di seluruh negara.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan menggunakan lorong kecemasan yang boleh membahayakan penumpang perkhidmatan awam.

"Pada masa sama, JPJ juga telah memeriksa lebih 3,170 bas di terminal bas di seluruh negara dan hasilnya, 24 bas ekspres tidak dapat melakukan perjalanan kerana berada pada tahap yang tidak baik.

"Kita akan pastikan bas itu selamat sebelum membenarkan pengguna menggunakan perkhidmatan awam itu untuk pulang ke destinasi yang dituju," katanya kepada pemberita pada program advokasi serta pameran bersempena Ops Aidilfitri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun hari ini.

Ahmad Nasir berkata pihaknya turut mengeluarkan lebih 6,000 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan, antaranya memandu tanpa lesen dan lesen memandu tamat tempoh iaitu sebanyak 1,824 kes.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang tempoh Ops Aidilfitri yang berakhir 5 Ogos depan, JPJ menempatkan anggotanya di 119 lokasi sepanjang jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara bagi memantau sikap pemandu.

Katanya, anggota JPJ turut ditempatkan di kawasan R&R sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan pada musim perayaan tahun ini.

Ahmad Nasir juga berkata pihaknya menyediakan kaunter bergerak di beberapa lokasi terpilih iaitu di Selangor dan Kedah bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu.

Sementara itu, di Kemaman, JPJ Terengganu mempergiat pemeriksaan ke atas semua bas ekspres dan bas tambahan yang dibenar beroperasi pada musim perayaan ini bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata setakat ini, JPJ Terengganu sudah memeriksa 89 bas ekspres di depot masing-masing di seluruh Terengganu.

"Setiap bas yang diperiksa kita keluarkan slip menandakan bas itu selamat untuk digunakan membawa penumpang ke destinasi masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi khas bermotosikal hari ini.

Dalam operasi itu, sebanyak 680 kenderaan diperiksa dan 43 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas manakala tiga kenderaan disita.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata JPJ Terenganu membekukan cuti 126 pegawai dan kakitangan bagi membolehkan mereka mengawasi lokasi maut sepanjang musim perayaan ini.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti 10 laluan maut dan menempatkan anggota di semua lokasi bagi mengingatkan pengguna supaya berhati-hati semasa menggunakan jalan terbabit.

"Langkah ini selari dengan objektif kami iaitu ingin menurunkan 10% kemalangan dan 20% kemalangan maut sepanjang musim perayaan ini," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .