Menurut AFP, Putin meminta perkara itu dalam panggilan telefonnya kepada Perdana Menteri Belanda Mark Rutte iaitu pemimpin yang paling ramai kehilangan nyawa rakyatnya, 154 penumpang ekoran kejadian itu.
"Ketua kerajaan Rusia menegaskan bahawa tragedi ini sekali lagi menunjukkan perlunya penyelesaian damai di Ukraine, negeri yang paling berkrisis, dan menegaskan keperluan penyiasatan yang menyeluruh dan objektif dalam kemalangan udara itu," kata Kremlin dalam satu kenyataannya selepas Putin bercakap dengan Rutte melalui telefon.
Ukraine kini dilanda krisis apabila pemberontak pro-Rusia cuba merampas kuasa di negara bekas pemerintahan Soviet itu.
Perdana menteri Australia sebelum ini mendakwa puak pemisah pro-Rusia yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 itu.
"Ini adalah hari suram untuk negara kita dan juga dunia. Penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine, ia dilihat dilakukan oleh pemberontak yang disokong Rusia," katanya sebagaimana dilaporkan Reuters.
Australia kehilangan 27 rakyatnya apabila mereka turut sama terkorban bersama pesawat Boeing 777 yang hancur itu.
Perdana menteri Belanda pula mengarahkan bendera negara itu dikibarkan separuh tiang di seluruh bangunan kerajaan negara itu selepas sekurang-kurangnya 154 rakyatnya dipercayai terlibat dalam kemalangan udara yang paling buruk negara itu, lapor Reuters.
Rakyat Belanda adalah antara 298 penumpang dan anak kapal, termasuk tiga bayi, dalam pesawat Penerbangan Malaysia Boeing 777 yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Pesawat malang itu dikatakan terhempas di kawasan konflik timur Ukraine di mana pejuang pro-Rusia bertembung dengan tentera kerajaan yang menguasai kerajaan di ibu negaranya, Kiev.
Bercakap di lapangan terbang Schiphol selepas menghentikan cutinya di selatan Jerman ekoran berita itu, Mark Rutte berkata, ini merupakan "Hari Hitam" bagi Belanda.
"Seluruh Belanda berkabung," katanya sambil menambah, "Hari musim panas yang cantik ini berakhir dengan tanda hitam."
sumber
No comments: