» » MH17: 20 Keluarga Maut Sekaligus


Kisah senarai penumpang MH17 begitu menyayat hati apabila lebih 20 keluarga maut dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine pada Khamis lalu.

Dua keluarga enam beranak berasal dari Belanda dan Malaysia antara mangsa nahas itu, manakala terdapat keluarga yang mempunyai lima, empat dan tiga ahli yang turut maut.

Kebanyakan mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak, sekurang-kurangnya 20 daripada mereka berusia di bawah 12 tahun.

Sejumlah remaja turut maut bersama pasangan yang kembali dari bercuti malah ada yang baharu sahaja menaiki pesawat itu bagi memulakan percutian.

Jinte Wals, 15, begitu teruja dengan rancangan percutian di Malaysia, dengan menulisnya di Twitter mengenai perkara itu sejam sebelum penerbangannya berlepas dari Amsterdam.

Dia meninggal dunia bersama bapanya Jeroen yang gemar berbasikal, ibunya Nicole, dan adik-beradik Brett, 17, Amel, 12, dan Solenn yang berusia sembilan tahun.

“Over uurtje in t vliegtuig naar MaleisiĆ« ! (Saya akan berada di udara untuk ke Malaysia dalam sejam lagi!)," katanya di Twitter pada Khamis, yang merupakan tulisan Twitternya buat kali terakhir.

Keluarga Wals berasal dari sebuah pekan kecil Neerkant di Belanda.

Jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan keluarga itu memberitahu sebuah akhbar Belanda, Algemeen Dagblad bahawa mereka tidak mempercayai keluarga enam beranak itu maut dalam nahas itu.

"Ia amat mendukacitakan. Kami tidak dapat lagi melihat Jeroen berbasikal bersama anak perempuannya," kata Nel dan Ton Winkelmolen kepada akhbar harian itu.

Mereka yang lain turut terbunuh ialah keluarga dari Malaysia, Tambi Jiee, bersama isterinya, Ariza Ghazalee, 47, dan empat anak mereka iaitu Mohd Afif (19), Mohd Afzal (17), Marsha Azmeena (15), dan Mohd Afruz (13), mahu pulang ke tanah air selepas tiga tahun berada di Kazakhstan.

Keluarga lima beranak yang maut termasuk warga Belanda, Johannes van den Hende, bersama isterinya rakyat Malaysia, Shaliza Dewa dan anak-anak mereka, Piers (15), Marnix (12) dan Margaux (lapan).

Keluarga itu dalam penerbangan pulang ke kediaman mereka di Melborune selepas bercuti.

Peguam, John Allen, dan isterinya warga Belanda, Sandra Martens dan anak lelakinya, Christopher (16), Julian (14) dan Ian (lapan) dilaporkan dalam perjalanan untuk bercuti di Indonesia.

Percutian itu diakhiri dengan tragedi selepas pesawat MH17 terhempas di ladang bunga matahari di Grabovo, Ukraine.

Charles Smallenburg dari Hilversum, dan isterinya, Therese, bersama anak perempuan mereka, Carlijn dan anak lelakinya, Werther maut dalam nahas itu dalam perjalanan mereka ke Malaysia untuk bercuti sempena musim panas.

Robert Van Keulen, dan isterinya, Caroline, dan kedua-dua anak lelaki mereka, Allard (16) dan Joroen (15) dalam perjalanan ke Borneo, yang akan bermalam di Kuala Lumpur terlebih dahulu.

Antara lain yang turut dalam perjalanan ke Borneo ialah Peter Essers, bersama isterinya, Jolette Nuesink, dan anak-anaknya, Emma (20) dan Valentijn (17).

Pasport milik Nuesink merupakan yang pertama ditemui di lokasi nahas dan gambarnya tersebar meluas di Internet.

Ramai lagi keluarga turut maut dalam tragedi itu, termasuk warga Belanda Paul Goes yang bekerja di Shah Alam, bersama isterinya rakyat Malaysia, Shuba Jaya dan anak perempuan mereka, Kaela yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran kedua tidak lama lagi.

Emile van Muijlwijk yang bertugas sebagai pengurus logistik di Singapura maut bersama isterinya warga Indonesia, Vickiline Kardia dan anak perempuan mereka, Adinda.

Johnny Paulissen, isterinya, Yuli Hastini dan anak-anak mereka, Martin (lima) dan Sri (tiga) turut terbunuh. Ini termasuk pasangan Oscar Kotte dan Miranda bersama anak lelaki mereka, Remco yang berusia enam tahun.

Antara lain yang turut terbunuh adalah tiga beradik Maslin, Mo (12), Evie (10) dan Otis (lapan) yang dalam perjalanan pulang dari Amsterdam ke Perth bersama datuk mereka, Nicoll Norris.

Media Belanda, Thuis In het Nieuws melaporkan bahawa tujuh dari dua keluarga di bandar Rosmalen di selatan Belanda maut dalam nahas itu. Kedua-dua keluarga itu merupakan rakan rapat.

Leon Wels dan isterinya Conny (Cornelia) dilaporkan menaiki pesawat itu bersama anak lelaki mereka, Sem yang berusia 10 tahun manakala Remco Trugg dan isterinya, Yvonne bersama kedua-dua anak perempuan mereka, Tess (10) dan Liv (tujuh) juga merupakan antara keluarga yang terbunuh dalam nahas MH17.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .