» » Lapar & Miskin Di Tengah-Tengah Ibu Kota


BAYANGKAN bangun dari tidur setiap pagi dengan merasa badan dan tulang lenguh dan sakit kerana telah bermalam sekali lagi di kaki lima atau di bangku yang sejuk di pinggir padang awam atau di tepi jalan.

Selepas itu terus merasa lapar dan mula mencari tempat yang boleh mensaji sarapan percuma.

Begitulah sebahagian rutin harian bagi ratusan - mungkin ribuan – rakyat Malaysia yang berhadapan dengan keadaan ketidaktentuan tempat tidur dan makanan sepanjang hari dalam hidup mereka.

Merekalah yang disebut sebagai golongan gelandangan.

Ke mana mereka harus pergi? Mereka boleh merayau-rayau di lorong mencari sisa-sisa makanan; mereka boleh seluk kocek atau ragut duit orang lain, kemudian dibelasah dan dicampakkan ke dalam jel.

Adakah itu yang kita mahu?

Sementara itu, terdapat juga kanak-kanak gelandangan yang mengikut ibu-bapa mereka berkeliaran di merata-rata tempat, termasuk di ceruk-ceruk gelap, tanpa menghirau soal persekolahan dan masa depan mereka.

Mengambil kawasan Chow Kit di Kuala Lumpur sebagai contoh, di sekeliling kanak-kanak ini, di antara lain, ialah gedung-gedung dan bazar membeli-belah, kedai-kedai makan, pasar basah, hotel-hotel murah, pusat-pusat rekreasi untuk dewasa serta sarang pelacuran dan dadah.

Budak-budak ini tiada padang permainan seperti yang terdapat di kebanyakan taman-taman perumahan.

Tiada juga tempat-tempat penjagaan kanak-kanak, di mana budak yang masih bayi atau di peringkat pra-sekolah diberi penjagaan yang baik ketika ibubapa mereka pergi mencari nafkah.

Sering kedengaran suara-suara kelaparan, tangisan sedih dan sakit dan tengking-menengking kerana kesempitan wang dan tiada makanan harian.

Dengan persekitaran sedemikian saban hari sejak lecil, tidak mustahil kanak-kanak di Chow Kit – dan tempat-tempat lain yang senasib dengannya - membesar dengan perwatakan agresif, berani mati, dan tiada hormat kepada undang-undang dan tiada wawasan bagi masa depan. Hendak ada wawasan macama mana kalau membesar di tepi jalanan.

Jangan fikir dengan pertumbuhan dan pembangunan pesat di sekitar negara, lebih-lebih lagi di ibu kota dan beberapa pusat pertumbuhan di Lembah Klang, tiada insan yang hidup menderita dan merana dalam kemiskinan.

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, begitulah hidup seharian di beberapa tempat di kota, seperti di Chow Kit dan juga sekitar kompleks Kota Raya dan Cahaya Suria di Jalan Tun Perak.

Apapun, di sinilah kediaman mereka, di sinilah tempat mereka hidup dan mati, di sinilah syurga dan neraka duniawi mereka.

Maka, saya tabik kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana sanggup turun ke jalanan – bukan setakat turun padang saja - untuk melihat sendiri keadaan warga gelandangan di ibu kota.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertanya sesuatu kepada salah seorang gelandanganyang tidur di kaki lima berhampiran Kotaraya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perdana Menteri menghabiskan kira-kira sejam mulai 10.40 malam Rabu lalu untuk meninjau kehidupan di jalanan, di mana beliau sempat beramah-tamah dengan beberapa orang gelandangan di sekitar Bangunan Cahaya Suria di Jalan Tun Perak.

Di antara mereka yang menemani beliau ialah Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Kira-kira seminggu sebelum kunjungan mengejut Najib ke sana, Ku Nan telah mencetuskan kontroversi dengan menyatakan dapur-dapur jalanan yang menyediakan makanan kepada golongan gelandangan tidak dibenar beroperasi dalam lingkungan 2km dari pusat membeli-belah Lot 10 di tengah-tengah bandar raya KL.

Alasan yang diberikan ialah hendak membersihkan ibu kota daripada golongan peminta sedekah dan gelandangan serta aktiviti dapur jalanan, juga dikenali sebagai “soup kitchen”, yang kononnya mencemarkan imej ibu kota dan kebersihannya diragui.

Namun, beberapa hari kemudian, selepas menemui beberapa badan sukarelawan, Ku Nan telah bersikap lebih lembut dan memberitahu masing-masing dibenarkan meneruskan aktiviti ‘soup kitchen’ mereka sehingga 16 Ogos, iaitu selepas sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata, bagaimanapun, badan-badan amal yang mempunyai premis yang sesuai seperti rumah ibadat atau bangunan sendiri dibenarkan mengagih makanan walaupun dalam lingkungan 2km radius.

Katanya, satu lagi sesi perjumpaan bersama-sama golongan gelandangan dan pengemis akan diadakan dalam waktu terdekat bagi mendengar keluhan dan membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

BUKAN SEKADAR SEDIA MAKAN SAJA

Dapur-dapur jalanan ini bukan semata-mata pusat edaran makanan. Ada di kalangan gelandangan yang datang mencari bantuan perubatan dan kadang-kadang, bertanya tentang kerja atau jawatan kosong.

Terdapat beberapa badan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan berkhidmat dengan memberi tusyen percuma, menganjurkan aktiviti seperti mencat dan membersih persekitaran dan memberi tempat tidur serta perubatan dan rawatan bila berupaya.

Pada asasnya, kemudahan perubatan yang disediakan adalah minyak angin dan pil untuk sakit-sakit ringan seperti sakit kepala, sakit perut dan sembelit dan luka di badan.

Tidak sia-sia Najib berkunjung ke Chow Kit untuk mendapat maklum balas mengenai hidup warga kota yang sudah lama dipinggirkan.

Ini kerana, tidak lama lagi, atas arahan beliau, sebuah bangunan telah dikenalpasti sebagai lokasi untuk dijadikan rumah perlindungan buat golongan gelandangan di ibu kota.

Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mungkin akan mendapat beberapa unit dan tingkat di dalam bangunan yang dikenalpasti itu bagi menempatkan mereka yang hidup secara gelandangan.

Bahagian bawah (bangunan itu) mungkin boleh dijadikan pusat perkhidmatan seperti rawatan kesihatan. Begitulah harapan kita pada DBKL.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .