» » 'Kotak Hitam Dianalisa Di UK'


Kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine tidak akan dibawa balik ke Malaysia untuk dianalisa.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, mengikut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), mana-mana kotak hitam yang ditemui perlu dibuka dan dianalisa secepat mungkin.

"Mengikut peraturan ia perlu dibuka secepat yang boleh. Tak wajar untuk kita simpan untuk bawa balik Malaysia dan kemudian nak hantar semula ke luar negara.

"Itu melanggar peraturan yang ditetapakan ICAO. Ia mesti dibuka dengan segera," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata, lokasi paling hampir untuk menganalisa kotak hitam ialah di United Kingdom (UK).

"Hanya ada beberapa negara yang memiliki kepakaran untuk membaca kotak hitam. Paling dekat adalah di UK.

"Oleh kerana ia berlaku di Eropah, jadi sewajarnya UK adalah salah satu lokasi sesuai untuk dibuat bacaan dengan penglibatan penyiasat antarabangsa. Malah pakar kita juga boleh sama-sama turut serta memantau proses analisa," katanya.

Ditanya sama ada Russia boleh menyertai pasukan siasatan bagi menganalisa kotak hitam MH17, Ab Aziz berkata, perkara itu akan ditentukan oleh panel siasatan antarabangsa yang dibentuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Awal hari ini dilaporkan puak pemisah Ukraine sudah menyerahkan dua kotak hitam pesawat MH17 kepada Malaysia.

Ia sekali gus mengakhiri misteri kehilangan dua kotak hitam berkenaan dari lokasi kejadian yang sebelum ini dilaporkan dihantar ke Moscow, Russia oleh kumpulan pemisah terbabit.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis lalu.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru.

Pesawat itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .