Penyanyi Asmidar menyifatkan sambutan Aidilfitri tidak akan bermakna buat dia serta keluarga sekiranya aktiviti tahunan mereka iaitu menganyam ketupat beramai-ramai tidak dilakukan.
Asmidar atau nama sebenarnya Nor Hasmidar Ahmad, 28, berkata, aktiviti itu sudah menjadi tradisi mereka sejak dahulu lagi dan mereka lebih gemar membuat sendiri ketupat tersebut berbanding membeli yang sudah siap dibungkus di pasaraya.
"Sebenarnya sambutan raya kami bersifat sederhana sahaja tetapi yang menjadi meriahnya apabila semua orang wajib ditugaskan menganyam ketupat.
"Apabila ramai-ramai yang buat, nak makan pun rasa seronok. Kami akan diberi pembahagian tugas untuk menganyam dan mengisi beras," katanya kepada mStar Online.
Tambah Asmidar yang akan pulang ke kampung halaman ayahnya di Kampung Gadik, Melaka, selain menganyam ketupat, mereka juga akan meluangkan masa beramai-ramai bermain bunga api di halaman rumah.
"Jujurnya, suasana seperti itu sukar untuk kita rasai di bulan-bulan lain selain Syawal. Sebab itu saya akan pastikan untuk meluangkan masa lebih bersama keluarga setiap kali sambutan Aidilfitri," ujarnya.
Sementara itu, Asmidar berkata, dia hanya akan mengambil cuti seminggu pada tahun ini kerana ingin kembali memberi fokus terhadap kerja nyanyiannya lebih-lebih lagi, dia kini sedang sibuk mempromosikan lagu single terbaharunya, Bila Cinta Ada.
"Sebenarnya, selepas cuti raya, jadual saya cukup padat bagi mempromosikan lagu baru saya itu.
"Maklumlah, kerja tidak boleh dilengah-lengahkan. Saya pelru berusaha keras kerana ada misi yang perlu saya capai," tuturnya.
sumber
No comments: