» » Jutawan Rusia mula bimbang polisi Putin terhadap Ukraine


Golongan jutawan di Rusia mula bimbang mengenai sekatan polisi yang dikenakan Presidennya Vladimir Putin terhadap Ukraine, lapor Bloomberg hari ini.

Memetik pandangan penganalisis dan beberapa jutawan Rusia, ahli perniagaan bagaimanapun takut untuk bersuara secara terbuka kerana undang-undang yang dikenakan kerajaan Putin.

Seorang jutawan yang enggan dikenali memberitahu Bloomberg, Putin mengambil risiko menyokong Belarus's Aleksandr Lukashenko, orang buangan antarabangsa yang dilabelkan Amerika Syarikat sebagai 'diktator terakhir Eropah', sepatutnya menamatkan perang di Ukraine selepas pesawat MH17 terhempas minggu lalu.

Katanya, kejadian itu memberi impak buruk kepada sektor perniagaan dan mencalarkan imej Rusia.

"Ekonomi dan perniagaan Rusia kini berada dalam ketakutan," kata ketua Pusat Teknologi Politik Moscow, Igor Bunin sambil menambah tidak ada siapa yang berani bersuara menentang polisi Putin kerana bimbang dikenakan hukuman berat.

Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat sebelum ini mengenakan sekatan terhadap individu dan kumpulan Rusia yang dianggap menyemarakkan pemberontakan pro Rusia di Ukraine.

Namun kejadian MH17 pada Khamis lalu yang mengorbankan 298 orang dilihat menyebabkan hukuman lebih berat akan dikenakan.

Ini susulan Setiausaha Amerika Syarikat John Kerry yang mengatakan bukti menunjukkan senjata peluru berpandu yang digunakan pejuang pemisah menembak MH17 dibekalkan oleh Rusia.

Manakala Setiausaha Pertahanan United Kingdom Micheal Fallon dilaporkan The Mail pada Ahad lalu menuduh Putin 'menaja keganasan'.

UK dan Belanda dikatakan akan mengetuai gesaan 'tindakan lebih tegas' dikenakan dalam mesyuarat menteri-menteri luar esok.

Sejumlah 193 rakyat Belanda terkorban manakala 10 warga UK juga terlibat dalam nahas itu.

Sehari sebelum kejadian MH17, AS mengumumkan sekatan terhadap OAO Novatek (NVTK), syarikat pengeluar gas milik Timchenko daripada menggunakan pasaran hutan Amerika bagi pembiayaan baru dengan tempoh matang lebih 90 hari.

Menurut Bloomberg, disebabkan itu pasaran saham Novatek di London jatuh 8% dua hari berturut-turut, dan nilai pasaran susut AS$3 bilion.

"Rusia berisiko menjadi negara paria jika tidak berkelakuan baik.

"Kita perlu menggunakan kekerasan bagi menyekat kemaraan Rusia," kata Setiausaha Luar UK Philip Hammond dalam Sky News semalam.

Satu kajian dan firma penasihat di New York menyatakan Amerika mungkin mengenakan sekatan lebih ketat dalam masa terdekat jika siasatan mendapati puak pemisah bertanggungjawab atas kejadian MH17, namun tidak bagi Eropah yang mempunyai perniagaan rapat dengan Rusia.

"Ancaman sekatan terhadap seluruh sektor ekonomi kini menjadi benar dan ada alasan kukuh untuk menakutkan peniaga.

"Jika ada sekatan terhadap seluruh sektor kewangan, ekonomi akan merudum dalam masa enam bulan," kata Mikhail Kasyanov yang pernah berkhidmat dengan Putin pada penggal pertama menjadi presiden, dari 2000 hingga 2004.

Sekatan itu sudah mula dikenakan di Rusia apabila Andrey Kostin, ketua pemberian pinjaman negeri VTB Group dilaporkan berkata, Rusia akan mengalami kegawatan ekonomi sebanyak AS$2 trilion dan menyebabkan negara itu tersisih daripada kapitalisme global.

Putin seperti dipetik laporan Eurasia Group sering menafikan membekalkan senjata kepada puak pemisah di Ukraine, dan berkeras untuk tidak membenarkan Amerika dan negara Eropah masuk campur.

"Beliau masih menganggap Rusia berhak keatas timur Ukraine dan menggunakan kuasa veto menentang keahlian NATO Ukraine demi kepentingan rakyatnya.

"Bantuan ketenteraan kepada pejuang pemisah akan diteruskan," menurut laporan Eurasia Group.

Putin, 61, bekas kolonel KGB menyalahkan Ukraine atas nahas MH17 apabila berkata negara itu perlu bertanggungjawab ke atas kawasan laluan pesawat terbabit.

Rakan sekutunya, Sergei Naryshkin yang juga speaker Parlimen dewan rakyat berkata, pihak berkuasa Ukraine melakukan 'jenayah kecuaian' kerana membenarkan pesawat Amsterdam-Kuala Lumpur itu terbang melintasi zon perang.

Pakar sosiologi Akademi Sains Rusia di Moscow Olga Kryshtanovskaya berkata, perniagaan elit negara kini hidup dalam ketakutan dan mahu mengambil duit mereka kerana khabar angin yang mengatakan akan berlaku perang.

Bekas bilionair yang juga pemilik akhbar UK Independent dan Evening Standard, Alexander Lebedev berkata beliau bersikap pesimis Rusia akan memperbaiki hubungannya dengan Amerika dan rakan sekutunya di negara Eropah.

"Waktu berputar semula ke zaman 1980-an tetapi ketika itu hanya melibatkan dua pihak dan kini dijangka lebih teruk," kata Lebedev yang juga bekas perisik askar Soviet semasa Perang Dingin di London.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .