» » 'Jangan khianati harapan rakyat'


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Kementerian Pendidikan, kuasa melantik dan melucutkan jawatan bukan setakat melanggar kebebasan akademik, bahkan juga mengkhianati harapan rakyat yang mahukan kedudukan lebih baik bagi institusi pendidikan tinggi.

Anwar berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan kementerian pendidikan yang tidak menyambung kontrak Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sehingga beliau meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel).

“Jelas menunjukkan keputusan untuk tidak memperbaharui tempoh Redzuan adalah cara lain memecat beliau atas keberaniannya menjalankan tugas tanpa rasa takut,” kata Anwar dalam blognya hari ini.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan, Redzuan diarahkan Kementerian Pendidikan supaya meletakkan jawatannya sebagai pengarah UMcedel malah jawatan dekannya juga tidak diperbaharui.

Difahamkan, Putrajaya tidak senang dengan hasil kajian UMcedel apabila dilihat memberikan lebih banyak publisiti kepada Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu.

Antaranya, kajian tentang sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih besar berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa PRU13.

Hasil kajian itu terbukti benar apabila PR mendapat lebih undi popular berbanding Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 lalu.

Selain itu, Redzuan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada Februari lalu turut membentangkan hasil kajian yang dilihat pro kepada Anwar.

“Tindakan kementerian terhadap Redzuan itu juga tidak mengejutkan, amat mengecewakan, dan sudah boleh dijangka,” kata Anwar.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, tindakan sama turut dilalui beberapa ahli akademik lain seperti pakar ekonomi terkemuka, Prof Jomo KS, penganalisis politik Prof Dr P. Ramasamy dan pakar Perlembagaan Dr Aziz Bari.

Cubaan The Malaysian Insider ke UM untuk berjumpa Redzuan bagaimanapun gagal apabila beliau dikatakan sibuk bermesyuarat dan enggan berjumpa dengan wartawan.

Difahamkan, hari ini merupakan hari terakhir beliau sebelum jawatan dekan diambil alih secara rasmi oleh timbalannya, Prof Dr Md Sidin Ishak bermula esok.

Majlis penyerahan tugas antara Redzuan dan Md Sidin diadakan dalam mesyuarat tertutup di pejabat pentadbiran FSSS pagi tadi.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .