Yeap, 28, dalam tulisan di blognya felixiayeap.blogspot.com berkata, beliau mengucap syahadah di hadapan empat orang saksi dalam satu majlis tertutup hari ini.
Beliau bersyukur kerana hasratnya untuk memeluk Islam selepas pencarian selama bertahun-tahun itu direstui oleh ibunya.
Walau ada yang menyokong, tidak kurang juga yang sangsi dan memberi reaksi negatif ke atas tindakannya itu, katanya lagi.
"Saya telah mengharungi pelbagai dugaan, bantahan, makian, sindiran, fitnah, penyisihan, tekanan.
"Tetapi syukur Alhamdulillah...saya juga dapat sokongan yang begitu hebat. Saya harus berterima kasih dengan kedegilan saya," tulisnya.
Tak bimbang disisihkan
Yeap berkata, beliau tidak bimbang untuk mengumumkan keputusannya memeluk Islam - tidak seperti individu lain yang terpaksa menyembunyikannya dari pengetahuan keluarga.
"Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha Mengetahui," tulisnya.
Yeap, yang meraih populariti melalui kemunculan di majalah Playboy pada tahun 2010 berkata beliau mula tertarik dengan Islam selepas memperaga pakaian muslimah untuk satu sesi fotografi.
Sejak enam bulan lalu, beliau tampil dengan imej bertudung – satu perubahan yang menarik perhatian ramai.
Wanita kelahiran Ipoh itu mendedahkan, beliau sejak itu juga sudah mendalami ilmu agama Islam.
Mengulas lanjut, Yeap berkata beliau kini lebih selesa dengan nama “Rania” dan merancang untuk membuka perniagaan menjual pakaian untuk golongan muslimah sepertinya.
No comments: