» » Televisyen digital bukan saingan Astro


Puncak Semangat Sdn Bhd diberi kepercayaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membangunkan perkhidmatan Televisyen Digital Terrestial (DTT) di negara ini menafikan mereka saingan kepada stesyen satelit berbayar Astro.

Pengarah Projek Puncak Semangat DTT, Nik Abdul Aziz Yaacob berkata meskipun pe‎ngguna memilih perkhidmatan DTT namun ia masih membolehkan mereka melanggan syarikat televisyen berbayar yang lain.

"Tiada yang berubah. Jika pengguna menggunakan perkhidmatan DTT, pada masa yang sama ‎ boleh menikmati perkhidmatan daripada Astro‎," katanya pada sidang media taklimat DTT di Pusat Konvesyen Sime Darby Kuala Lumpur hari ini.

Syarikat konsesi yang diberi hak pelesenan oleh SKMM selama 15 tahun itu dikatakan akan memberi perkhidmatan percuma kepada pengguna.

Selain itu, beliau berkata syarikat itu turut akan memberikan subsidi sebanyak RM2 juta kepada pengguna bagi pembelian set-top boxes. Bagaimanapun, ‎ia tidak tertakluk kepada golongan berkemampuan terutama pengguna di kawasan bandar.

Katanya, pemberian subsidi itu merupakan sebahagian perjanjian yang digariskan dalam tender bagi mendapatkan hak lesen daripada SKMM.

"Subsidi itu pula hanya diberikan ‎kepada golongan kurang berkemampuan. Bagi pengguna bandar, mereka masih perlu membeli set-top boxes itu," katanya.

Katanya meskipun subsidi tidak diberikan kepada golongan berkemampuan, beliau memberi jaminan ia masih lagi mampu dimiliki.

"Untuk harga set-top box, ia masih lagi berada dalam tahap perbincangan bersama SKMM. Kita masih belum tentukan‎," katanya.

Perkhidmatan DTT akan membolehkan pengguna menikmati pelbagai siaran dalam satu saluran penyedia (content provider).

Antara lain, syarikat konsesi itu juga berperanan menukarkan sepenuhnya penyiaran televisyen daripada anolog kepada digital.

"DTT membolehkan pengguna mendapat pelbagai manfaat seperti gambar dan bunyi lebih berkualiti, lebih banyak saluran televisyen percuma dengan kualiti definisi tinggi (HD), perkhidmatan internet, radio dan sebagainya.

"Pengguna di kawasan terpencil di luar bandar juga akan menikmati siaran lebih jelas," katanya.

Abdul Aziz berkata, syarikat tersebut memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi perbelanjaan modal dan ia ditanggung sepenuhnya oleh dana persendirian syarikat swasta.

‎Beliau berkata lagi tempoh yang disasarkan SKMM untuk melengkapkan penukaran sepenuhnya anolog kepada digital ialah pada 2016.

Manakala syarikatnya menyasarkan‎ rangkaian DTT beroperasi sepenuhnya dengan meliputi 85% liputan pada 17 April tahun depan.

"Kita akan lalukan secara berperingkat, iaitu fasa pertama pada Januari 2015 di kawasan Kelantan, Terengganu dan Pahang. Fasa kedua pula di Sabah dan Sarawak.

"Fasa ketiga pula ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Fasa terakhir di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya. Semua itu akan dilakukan dalam tempoh 7 tahun daripada 15 tahun dalam tender bersama SKMM," katanya.

‎Tahun lepas Menteri Penerangan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dengan penukaran televisyen digital, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dijangka akan mempunyai tujuh rangkaian baharu dan sebagai sebuah platform, ia boleh digunakan oleh Media Prima dan sebagainya.

‎Sementara itu Timbalan Pengarah Projek DTT Mohamed Redzwaan Yahya berkata, berbeza dengan Astro yang menggunakan satelit, DTT dipasang melalui daratan (bumi).

"Kerana itu kita berkerjasama dengan Telekom Malaysia dimana kita akan menaik taraf kemudahan bagi membolehkan DTT disokong," ‎katanya.

Beliau menjangka syarikat akan menerima lebih 80 pelbagai saluran ‎penyiaran yang berminat menyertai DTT.

Ditanya dari mana syarikat itu akan memperoleh keuntungan sekiranya perkhidmatan saluran diberikan secara percuma kepada pengguna beliau berkata ia melalui syarikat penyiaran.

"Memang polisi kita ialah perkhidmatan televisyen percuma kepada pelanggan kerana itu sumber kewangan kita datang daripada syarikat penyiaran.

"Buat masa ini kita menerima persetujuan daripada RTM dan Media Prima bagi saluran rangkaian televisyen," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .