» » Putrajaya tetap bawa usul kontroversi pindaan Akta LHDN


Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata pindaan rang undang-undang kontroversi Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetap akan dibawa ke Parlimen walaupun ditentang oleh Pakatan Rakyat (PR).

Ahmad Husni berkata, penangguhan pindaan tersebut dibawa ke Oktober depan kerana berlaku kesilapan teknikal.

"Kami tangguhkan kerana mahu buat pindaan, kami memasukkan Gabenor Bank Negara dalam panel pelaburan.

"Beliau sepatutnya tidak berada dalam panel itu kerana tanggungjawabnya adalah menjaga sektor kewangan dan bukan pelaburan LHDN," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perbankan Malaysia ke-18, pagi ini.

Beliau mengakui perkara tersebut disedari pada saat akhir menyebabkan ia terpaksa dibawa untuk dibahas pada sidang depan.

“Kami mengetahuinya pada saat akhir dan memerlukan masa untuk menukarnya," katanya.

Ahmad Husni juga menafikan tuduhan PR yang mengatakan akta tersebut akan melibatkan wang pembayar cukai.

"Pelaburan ini tidak melibatkan wang pembayar cukai.

"Tuduhan sesetengah ahli Parlimen adalah tidak benar," katanya.

Beliau berkata, semua pelaburan oleh kerajaan dilaksanakan mengikut prosedur yang sah dan dikawal selia di bawah peruntukan undang-undang.

"Semua urus tadbir perbelanjaan kerajaan dibuat mengikut Akta Prosedur Kewangan," katanya.

Ahli Parlimen PKR, Wong Chen sebelum ini menyelar usul pindaan Akta LHDN tersebut kerana ia akan menukar peranannya daripada agensi kutipan cukai kepada firma pelaburan.

Wong berkata, menteri kewangan bercadang menubuhkan panel pelaburan badan itu bagi menggunakan wang pembayar cukai membeli bon, hutang atau harta lain yang difikirkan patut dalam pindaan rang undang-undang LHDN.

Beliau mendakwa, jika rang undang-undang itu diluluskan, secara dasarnya ia akan mengubah LHDN kepada satu pelaburan seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah kawalan peribadi menteri kewangan.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menafikan laporan cukai yang dikutip oleh LHDN akan digunakan untuk melabur dalam saham atau bon.

Kementerian Kewangan baru-baru ini menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu yang dijadual pada minggu ini ke sesi Parlimen pada Oktober bagi membolehkan semakan lanjut dibuat.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .