Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) mendakwa harga minyak akan naik selepas pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh Putrajaya pada April tahun depan.
Beliau berkata, hasil daripada semakan yang dilakukannya mendapati petrol dan diesel tidak dikecualikan daripada dikenakan cukai GST.
"Semakan ke atas Senarai Pembekalan Berkadar Sifar dan Senarai Pembekalan Dikecualikan seperti yang diisytiharkan oleh Jabatan Kastam dan Eksais menunjukkan petrol dan diesel tidak termasuk di dalam senarai pembekalan (iaitu barang atau perkhidmatan) yang berkadar sifar atau dikecualikan.
"Ini bermakna petrol dan diesel akan dikenakan GST seperti barang dan perkhidmatan yang lain," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, Rafizi mendakwa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menafikan dakwaan petrol dan diesel akan dikenakan GST.
"Sehingga kini, Datuk Seri Najib Razak tidak menafikan bahawa GST akan dikenakan ke atas petrol dan diesel," katanya.
Bagaimanapun, Rafizi berkata perkara tersebut akan disembunyikan oleh Putrajaya tanpa mengumumkan kenaikan harga minyak tetapi jumlah isipadu yang dibeli pengguna akan kurang.
"Pengguna akan mendapat isipadu petrol atau diesel yang lebih sedikit pada harga yang sama walaupun tiada sebarang kenaikan harga minyak akan diumumkan oleh Barisan Nasional," katanya.
Rafizi menjelaskan bagi petrol Ron 95 berharga RM2.10 untuk 1 liter akan berkurang menjadi 0.94 liter.
Walaupun tiada perubahan pada harga petrol, tetapi jumlah isipadu akan kurang berbanding pada harga sebelumnya.
"Saya menggesa supaya semua butiran mengenai rombakan sistem subsidi petrol dan diesel diumumkan dan dibentangkan secepat mungkin kepada rakyat supaya kesan sebenar pelbagai tindakan Barisan Nasional ini dapat ditentukan," katanya.
Rafizi juga mendesak penjelasan daripada pentadbiran Najib.
"Keengganan beliau mengesahkan perkara ini bakal memberi gambaran bahawa pentadbiran beliau sedang merancang untuk menaikkan harga petrol dan diesel secara mengejut melalui pelaksanaan serentak GST dan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel," katanya.
September tahun lalu selepas berakhir pilihan raya umum ke-13, Najib mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, ia mengundang kritikan banyak pihak.
GST pula bakal diperkenalkan menjelang April tahun depan.
sumber
No comments: