Majistret Zuraini Abdul Razak memerintahkan Lee Shu Chiew, 50, dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Lee didakwa mencuri empat keping coklat, sebotol syampu rambut, sepaket ayam mentah dan dua botol cecair aksesori kereta yang kesemuanya bernilai RM150.51 di Pasaraya AEON Taman Maluri pada 7 Jun lepas.
Lee, yang diwakili peguam Nasirudin Nordin, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda.
Dalam rayuan, Nasirudin memaklumkan mahkamah bahawa ini merupakan kesalahan pertama Lee dan anak guamnya itu tinggal bersama bapa berumur 79 tahun yang sedang sakit tua.
"Anak guam saya sedar kesalahan yang dilakukan. Dia terpaksa melakukan perbuatan itu atas faktor kesempitan hidup," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri pula berhujah ini adalah kesalahan serius dan sering berlaku, oleh itu, tertuduh perlu dijatuhi hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran meskipun nilai barang yang dicuri adalah kecil.
Mengikut fakta kes, seorang pengawal keselamatan melihat Lee dalam keadaan mencurigakan dan memasukkan kesemua barangan itu ke dalam sebuah beg kitar semula, namun hanya membuat pembayaran untuk roti dan sebotol jus oren.
Ketika ditahan pengawal keselamatan itu, tertuduh gagal menunjukkan resit pembelian yang sah bagi barangan lain dan dia kemudian diserah kepada polis pada hari sama.
sumber
No comments: