» » Nur Jazlan nafi sahkan Peguam Negara halang bentang laporan skandal NFC


Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) menafikan dakwaan anggota PAC daripada Pakatan Rakyat (PR) bahawa beliau mengesahkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail melarang laporan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) dibentangkan di Parlimen.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, beliau tidak pernah menggunakan perkataan "melarang" sebaliknya, pihak peguam negara "mencadangkan" laporan berkemungkinan subjudis kepada kes mahkamah yang sedang berjalan melibatkan Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Mohamad Salleh yang kini berdepan dua kes pecah amanah melibatkan RM49.7 juta di Mahkamah Tinggi.

"Apa yang berlaku ialah PAC sudah siapkan laporan mengenai NFC dan sudah menghantarnya kepada Speaker Dewan Rakyat. Speaker kemudiannya mendapatkan pandangan peguam negara sebelum membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat.

"Saya dimaklumkan peguam negara berpandangan terdapat subjudis dalam laporan berkenaan. Jadi speaker membuat keputusan menangguhkan pembentangan laporan itu pada sesi ini," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Empat wakil rakyat pembangkang diketuai Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua awal hari ini mendakwa peguam negara melarang laporan NFC yang disediakan PSC untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pua yang juga anggota PAC pada satu sidang media di lobi Parlimen berkata, mereka dimaklumkan perkara itu oleh Nur Jazlan.

"Peguam negara memaklumkan kepada speaker Dewan untuk melarang laporan PAC berkenaan NFC dibentangkan di Parlimen," kata Pua.

"Peguam negara berkata laporan ini akan mengganggu kes mahkamah Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Mohamad Salleh yang kini berdepan dua kes pecah amanah melibatkan RM49.7 juta di Mahkamah Tinggi," katanya.

Pua bagaimanapun memberi jaminan, laporan yang disediakan PAC berhubung skandal melibatkan keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu tidak akan mengganggu perbicaraan kes Mohamad.

"Semasa beliau dipanggil memberi keterangan, beliau tidak menjawab sebarang soalan kerana khuatir akan mengganggu perbicaraan.

"Laporan ini tidak menyentuh kes yang sedang berjalan di mahkamah," katanya.

Isu NFC sebelum ini didedahkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan kemudiannya mengaitkan keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Pua ketika sidang medianya berkata, laporan PSC berhubung perkara itu juga tidak menyentuh perbicaraan di mahkamah.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .