» » 'Miskin tegar bukan salah sikap pemurah , DASAR KERAJAAN jadi punca'


Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim baru-baru ini membuat kenyataan sikap pemurah rakyat Malaysia adalah salah satu punca mengapa gejala orang bergelandangan semakin bertambah pada masa ini.

Beliau dipetik sebagai berkata:"Isu peminta sedekah di negara ini tidak pernah diselesaikan sepenuhnya walaupun pelbagai usaha dan penguatkuasaan diambil oleh agensi-agensi kerajaan.

"Sikap pemurah adalah salah satu penyumbang utama kepada peningkatan bilangan peminta sedekah, dan kerana ini, kumpulan-kumpulan permintaan sedekah ini bertambah berani untuk meneruskan kehidupan sebegini, " katanya.

Beliau berkata:"Terdapat beberapa NGO yang memberikan makanan untuk mereka yang kurang bernasib baik di sesetengah kawasan di Kuala Lumpur.

Walaupun ini tidak menjadi satu kesalahan, tetapi adalah lebih baik sekiranya bantuan tersebut disalurkan melalui saluran yang betul supaya barangan, wang dan perkhidmatan benar-benar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan."

Saya berasa amat hairan kenapa pihak berkuasa gemar sekali menyalahkan pihak lain dalam semua masalah yang dihadapi oleh negara dan rakyat.

Kajian-kajian dari dalam dan luar negara banyak mengupas dan mengulas punca kemiskinan di Malaysia adalah datang daripada penggubalan polisi yang mencengkam kehidupan rakyat.

Kajian Professor Fatimah Kari dari Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan UM menunjukkan; menerusi potongan subsidi kerajaan secara berperingkat, rakyat, terutamanya isi rumah Melayu dan Bumiputra yang miskin adalah golongan paling terkesan kelak, sama ada di bandar atau di luar bandar; kadar kemiskinan ini dijangkakan akan kembali seperti pada 1970 dalam tempoh terdekat atau sederhana sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi polisi kerajaan.

Model ekonomi yang diguna pakai Dr Fatimah juga menunjukkan pemotongan subsidi tersebut juga meningkatkan kadar kemiskinan bangsa Cina dan India di bandar dan luar bandar, walaupun kesannya tidak begitu mendadak dibandingkan dengan golongan Bumiputra.

Yang terpenting, BR1M dikenal pasti sebagai pemberian yang tidak mampu menyelamatkan rakyat daripada perangkap kemiskinan yang bakal menanti.

Kesan pemotongan subsidi bahan api, kajian itu mendapati pertambahan sebanyak 37.5% daripada Bumiputra bandar dan 23.3% daripada Bumiputra luar bandar akan berada dalam risiko miskin tegar kerana pemotongan subsidi itu.

Mereka ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi sekiranya terjadi kejadian yang tidak disangka seperti bencana alam atau kematian pencari nafkah.

Pada ketika ini indeks GINI Malaysia berada pada 0.43, salah satu tertinggi di dunia dan bila kita berada di tangga 45 bersebelahan negara Botswana dan Belarus dalam laporan gaji purata International Labor Organisation, maka nyata sekali pendapatan rakyat rendah.

Tambahan, Bank of America Merrill Lynch meramalkan dengan polisi-polisi kerajaan yang sedia ada pada masa ini, Malaysia akan menjadi muda dan miskin menjelang 2030.

Kerajaan perlu sedar, NGO yang terlibat cuma bertindak di atas keperluan segera.

Apa yang patut disalahkan ialah sistem pemberian bantuan kebajikan yang ada di negara kita. 

Saya juga ingin bertanya, tidakkah apa yang dinyatakan oleh Datuk Seri Rohani itu sama sahaja dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan melalui pemberian BR1M? 

Sekiranya pemberian makanan oleh NGO disalahkan, kerajaan juga perlu disalahkan kerana menggalakkan penerima bantuan ini kekal miskin kerana digula-gulakan dengan bantuan seperti ini.

Sebenarnya, Malaysia perlu berfikir tentang bagaimana memperkasakan rakyat untuk mengeluarkan diri mereka sendiri daripada perangkap kemiskinan.

Bantuan MyKasih yang dimulakan di Lembah Pantai merupakan serampang dua mata untuk membantu menyelesaikan masalah ini; iaitu memastikan anak-anak mendapat pendidikan dengan mensyaratkan mereka kekal di sekolah, selain bantuan makanan yang diberikan secara bulanan.

Malaysia juga perlu mengambil pendekatan yang baru iaitu menggunakan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang sejauh mana masalah ini menghantui rakyat.

Garis kemiskinan yang diguna pakai pada masa ini tidak lagi relevan kerana ia tidak mengambil kira faktor lain selain faktor pendapatan dalam ukuran kemiskinan ini.

Justeru, saya amat berharap pihak berkuasa akan cermin diri mereka sendiri sebelum menyalahkan pihak lain dalam masalah ini.

Kemiskinan adalah masalah yang amat kompleks, dan memerlukan penyelesaian komprehensif sama ada untuk merawat simptom, seperti yang dilakukan oleh NGO-NGO, dan penyelesaian punca melalui polisi-polisi kerajaan.

* Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .