Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyifatkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low membandingkan laporan audit Malaysia dan Singapura sebagai tidak wajar.
"Laporan Audit Negara Malaysia lebih tebal 70 muka surat daripada laporan audit Singapura, tapi masih gagal membawa pesalah ke muka pengadilan yang menjadi punca kerugian berjuta ringgit," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Pua menyelar kenyataan Low yang disifatkannya tidak bertanggungjawab dan memperbodohkan tahap pemikiran rakyat.
"Low jangan menghina tahap pemikiran rakyat Malaysia dengan mengatakan kerajaan lebih telus dan bertanggungjawab kerana laporan audit Malaysia lebih tebal berbanding Singapura," kata Pua.
Menurut Pua, jika dibandingkan dengan Singapura, kedudukan rasuah Putrajaya lebih parah malahan Indeks Persespi Rasuah (CPI) negara juga tidak memuaskan.
"Singapura berada pada tangga ke-5 dalam CPI yang dikeluarkan Transparency International, berbanding Malaysia yang berada pada kedudukan ke-53," kata Pua.
Pua juga berkata, tidak ada gunanya jika menjadi terbuka dan telus jika pembaziran masih lagi berulang hampir setiap tahun.
"Menteri tersebut patut malu kerana kerajaan gagal mengambil langkah berkesan untuk memperbaiki ketirisan yang berlaku dalam laporan audit setiap tahun," kata Pua.
Semalam, Putrajaya mengadakan majlis taklimat untuk media mengenai Siri Pertama dan Kedua Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan 2013 di Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan ketua setiausaha beberapa kementerian.
Dalam ucapannya, Low memuji Laporan Audit Negara kerana lebih tebal berbanding Singapura.
Sebelum itu, dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) juga dihalang daripada sesi taklimat tersebut atas alasan ia merupakan tertutup untuk media sahaja.
No comments: