» » Bekas Sultanah Johor tewas pertarungan batal perceraian


Bekas Sultanah Johor, Tuanku Zanariah Tunku Ahmad kalah dalam pertarungan terakhirnya di Mahkamah Rayuan Syariah untuk mengenepikan pengesahan perceraiannya dengan almarhum Sultan Johor.

Panel tiga hakim diketuai Syed Ali Syed Abu Bakar, berkata hakim Mahkamah Tinggi Syariah adalah benar ketika mengisytiharkan beliau terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh majlis jawatankuasa.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Marsid @ Morsid Mahrof dan Jainuddin Mt Sum.

Kesukaran Tuanku Zanariah bermula Ogos tahun lalu apabila menerima surat memaklumkan almarhum Sultan Johor menceraikannya pada Januari 2009.

Tuanku Zanariah berkahwin dengan almarhum Sultan Mahmud Iskandar Ismail pada 1961 dan baginda meninggal dunia pada 22 Januari, 2010.

Surat yang dihantar kepadanya oleh Mufti Johor, Mohd Tahrir Syamsuddin, dikepilkan bersama tiga lagi dokumen termasuk sijil cerai bertarikh 8 Oktober, 2010 yang menyatakan perceraian berlaku pada 23 Januari, 2009.

Tuanku Zanariah juga menerima surat kedua daripada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bertarikh 9 Disember, 2010 yang memaklumkan kepadanya jawatankuasa fatwa Johor membuat keputusan mengiktiraf kesahihan perceraian itu pada 6 Ogos, 2010.

Dokumen terakhir adalah daripada Mahkamah Rendah Syariah bertarikh 30 September, 2010 yang mengesahkan lagi perceraian itu.

Pada 1 Januari, Tuanku Zanariah memfailkan permohonan semakan untuk mengenepikan perintah Mahkamah Rendah Syariah yang menyatakan almarhum suaminya menceraikannya.

Tuanku Zanariah memohon perintah itu dibatalkan kerana tidak pernah dipanggil menghadiri mana-mana prosiding perceraian.

Tuanku Zanariah juga memohon bantuan mahkamah untuk menyiasat sama ada perisytiharan Sultan Iskandar pada Januari 2009 yang dikatakan disaksikan oleh Abdul Ghani dan pengerusi jawatankuasa diraja Johor, Tengku Osman Tunku Temenggong Ahmad adalah sah, berdasarkan kepada akuan berkanun mereka.

Tuanku Zanariah juga memohon rujuk yang diumumkan seminggu selepas perceraian yang dikatakan itu diisyhtihar tidak sah.

Dalam afidavit menyokong permohonan yang difailkan hari ini, dia mendakwa jabatan kerajaan Johor khasnya pejabat agama disalahgunakan untuk memalukannya dan almarhum Sultan Iskandar.

Tuanku Zanariah berkata, bekas sultan tidak pernah membuat permohonan penceraian itu, dan beliau bersama almarhum sultan hidup bersama sebagai suami isteri yang sah dalam keadaan aman dan harmoni sehinggalah sultan mangkat pada 22 Januari 2010.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonan itu pada 20 Januari kerana Hakim Muhammad Khaldun Mohd Sharif berkata beliau terikat dengan fatwa berhubung perkara itu.

Pada Mac, Majlis Agama Islam Johor menjadi pencelah dalam kes itu.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .