» » Wawancara Dengan Calon BN Teluk Intan


FIGURA politik ini pernah berkhidmat untuk rakyat di kawasan Parlimen Teluk Intan selama dua penggal, dan kemudiannya tidak bernasib baik apabila beliau tewas dua kali berturut-turut berikutan tsunami politik yang berlaku pada 2008.

Namun anak kelahiran Teluk Intan ini nyata mempamerkan keberanian dirinya yang mahu terus berkhidmat kepada rakyat apabila sekali lagi bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng.

Selain ahli parlimen, Mah Siew Keong turut berpengalaman sebagai Adun, timbalan menteri dan kini merupakan Presiden Gerakan, Mah begitu mengenali dan memahami hati rakyat.

Cabaran hebat buat Mah, 53 pada PRK Teluk Intan ini apabila berhadapan dengan pihak lawan yang jauh lebih muda, Dyana Sofya Mohd Daud, 27 mewakili DAP.

Ikuti wawancara mStar Online bersama Presiden Gerakan ini mengenai kebangkitan semula dan persaingan yang dihadapinya pada PRK Teluk Intan.

mStar: Apakah pandangan anda mengenai sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di Teluk Intan?

Mah: Sokongan rakyat dilihat lebih baik berbanding tahun lepas (PRU-13) tetapi masih tidak cukup. Ini kerana kita kalah agak teruk sebelum ini sebab ada lebih 7,000 undi (majoriti). Jadi, kita memerlukan lebih banyak usaha untuk mendapat kembali sokongan. Jika hanya 1,000 undi majoriti dikira boleh lagi, tetapi lebih 7,000 undi satu jumlah yang besar.

mStar: Apakah cara yang boleh mengembalikan undi kepada BN?

Mah: Kita perlu memberi lebih banyak penjelasan kepada pengundi-pengundi mengenai isu-isu seperti GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan rasuah. Saya fikir ia lebih baik daripada mengadakan jamuan makan malam dan cabutan bertuah. Saya fikir cara itu tidak lagi berkesan.

Saya ingat lagi tentang pengundi luar di mana yang menyapu bersih jumlah undi. Di Teluk Intan sentiasa mempunyai kadar pengundian 70 peratus. Pada pilihan raya yang lepas, ia jadi lebih 80 peratus. Terlalu ramai pengundi datang dari luar Teluk Intan. Bagaimana kita hendak menjelaskan kepada mereka?

mStar: Apakah yang berlaku pada pengundi luar?

Mah: Pada pilihan raya yang lepas, apabila kita berkempen, kita ingatkan sokongan yang ada begitu baik. Tetapi bila keputusan keluar, ia berbeza. Pada hari mengundi, seluruh bandar sesak dengan kenderan-kenderaan menggunakan plat nombor pendaftaran dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor. Terlalu banyak pengundi luar. Kita tidak menjangkakan keadaan itu dan kita kalah.

mStar: Bagaimana jumlah undi yang tinggi?

Mah: Jumlah undi tinggi daripada pengundi luar. Tetapi mereka tidak bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan. Ini kerana mereka tidak tinggal di Teluk Intan. Masalah banjir tidak dipedulikan mereka, begitu juga dengan masalah air.

mStar: Bagaimana dengan peluang kali ini? Adakah sambutan penyokong diperoleh daripada kempen dan ceramah?

Mah: Saya fikir ia lebih mencabar kerana kita masih pada kedudukan 'underdog'. Setakat ini, saya meletakkan peluang 45-65 peratus. Kita masih 65 peratus. Ini kerana margin kekalahan sebelum ini begitu tinggi iaitu lebih 7,000 undi majoriti. Keduanya, saya melihat mendiang Seah merupakan seorang ahli parlimen yang bagus dan secara strategiknya, beliau menarik perhatian golongan muda. Dan sudah tentu terdapat banyak simpati terhadap beliau.

mStar: Bagaimana peluang itu dapat meningkat kepada 50-50 peratus?

Mah: Sama ada kita boleh mencapai 50-50 peratus atau tidak, kita akan cuba, masih panjang lagi. Setiap hari diambil kira kerana setiap hari adanya ceramah. Kita berharap untuk mendapat jangkaan 51 peratus menjelang sabtu depan. Tetapi ia terlalu sukar. Kita sudah membuat pilihan (untuk bertanding).

mStar: Komen mengenai pencalonan anda pada PRK Teluk Intan.

Mah: Pada awalnya, saya enggan untuk tampil (sebagai calon) tetapi sebagai presiden parti, saya tidak boleh melarikan diri. Presiden parti tidak sepatutnya menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menjadi senator, presiden parti perlu berhadapan dengan rakyat sama ada menang atau kalah. Sudah tentu akan ada kesan apabila presiden parti kalah. Dan sekiranya kita kalah, kita akan berhadapan dengan keadaan itu.

mStar: Anda menang sebanyak dua kali (Parlimen Teluk Intan) dan kemudiannya tewas sebanyak dua kali berturut-turut dan kini dicalonkan semula, dan ini menunjukkan seolah-olah BN tidak mempunyai calon lain?

Mah: Sebenarnya kita ada. Kita sedang melatih orang baharu menjadi calon pada 2018 (Pilihan Raya Umum ke-14). Tetapi pilihan raya kecil ini berlaku begitu cepat.
mStar: Anda kalah setahun yang lalu, jadi kenapa masih bertanding kali ini?

Mah: Ya, tidak dinafikan kita kalah pada pilihan raya umum yang lepas. Tetapi sekarang... terdapat dua perkara. Sebagai presiden parti, ia bukan sahaja mengenai isu tempatan tetapi presiden parti dilahirkan di sini (Teluk Intan), menang kalah juga di sini. Secara jujurnya, dia mungkin akan melarikan diri.

mStar: Jika anda kalah, mungkin jawatan anda sebagai presiden parti akan berakhir.

Mah: Ya, sudah tentu adanya risiko yang perlu kita ambil. Saya ingatkan saya akan (mengendalikan tanggungjawab) di sana dan di situ. Kita sepatutnya melatih orang baharu untuk menjadi calon. Tetapi sebab PRK berlaku begitu pantas, parti berpendapat mereka yang dilatih itu masih belum bersedia. Maka, presiden parti perlu tampil menjadi calon.

Ini kerana saya sebagai presiden parti, jika tidak bertanding hari ini... saya boleh katakan kritikan yang akan saya terima 10 kali ganda berbanding sekarang. Saya tidak mahu imej yang buruk sebagai presiden parti. Sudah tentu ada risiko sekiranya presiden parti kalah sekali lagi, kita akan kalah semuanya. Saya tidak akan dilantik semula walaupun menerusi ‘pintu belakang’ sekalipun. Kadang-kadang terdapat prinsip di mana kita mesti berjuang.

mStar: Tetapi ia mungkin diterima sekiranya anda bertanding dengan pihak lawan yang ‘lebih besar’.

Mah: Masalahnya, saya tidak tahu siapakah lawan saya (sebelum diumumkan sebagai calon). Saya tidak diberitahu mengenainya. Terdapat beberapa nama yang dicalonkan dalam DAP. Tetapi mereka memutuskan beliau (Dyana) sebagai calon. Saya fikir DAP begitu bijak dengan membuat satu keputusan yang strategik. Ini kerana adalah lebih mudah sekiranya saya berhadapan dengan mana-mana calon DAP berbangsa Cina. Saya fikir mereka membuat satu langkah yang tepat (dalam memilih calon).

mStar: Memandangkan calon DAP sekarang adalah Dyana, apakah pandangan anda mengenai beliau?

Mah: Saya ingin cuba katakan bahawa beliau bukan seorang calon yang lemah. Saya fikir beliau seorang calon yang kuat.

mStar: Kenapa anda fikir begitu sedangkan anda lebih berpengalaman dan pernah dilantik sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan sebanyak dua kali?

Mah: Ini kerana beliau lebih baik dalam menarik perhatian pengundi-pengundi muda semua kaum. Jangan katakan beliau seorang calon yang lemah, mahupun calon ‘underdog’. Malah saya boleh katakan beliau seorang calon yang kuat kerana usianya yang muda. Ini memberi kelebihan kepada beliau sebagai calon.

mStar: Jadi, jangkaan sebelum itu membuatkan anda mahu tampil sebagai calon?

Mah: Ini kerana saya dimaklumkan bahawa saya akan berhadapan dengan calon DAP yang muda dan lemah. Keadaan itu menekankan apabila mendapat tahu beliau seorang calon yang kuat. Beliau seorang yang muda, menarik dan mendapat perhatian orang muda. Sebelum ini, DAP menang dengan undi majoriti lebih 1,000 undi dan dengan simpati terhadap mendiang Seah membuatkan banyak undi akan dibuat untuk beliau. Jadi, ia memang sukar. Saya cakap berdasarkan fakta apa yang saya sebenarnya tahu. Sebab itu saya katakan peluang saya 45-65 peratus.

mStar: Apakah pandangan anda mengenai kelemahan Dyana?

Mah: Saya tidak tahu, saya tidak mengenali beliau.

mStar: Hari mengundi 31 Mei jatuh pada ‘dumpling festival’ yang disambut oleh kaum Cina. Adakah sambutan itu memberi kesan kepada undi?

Mah: Ya, tetapi terdapat pihak yang mendakwa BN boleh memanipulasi tarikh mengundi. Tarikh ini adalah tarikh cuti. Hari isnin adalah ‘dumpling festival’. Jadi, semua mereka yang berada di luar akan pulang ke Teluk Intan. Sudah tentu ia akan memberi kesan kepada undi. Saya begitu bimbang terhadap perkara ini tetapi bukan saya yang menentukan tarikh PRK ini. Ia ditetapkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Jadi, akan lebih ramai pengundi luar. Ini yang saya katakan sebagai faktor yang begitu mencabar.

mStar: Bagaimana anda menangani keadaan itu?

Mah: Sebab itu saya berharap kita dapat melakukan yang lebih baik di Teluk Intan dari segi pelaburan, infratstruktur, masalah banjir, golongan muda dan peluang pekerjaan. Ini yang seharusnya dilakukan oleh seorang ahli parlimen selain isu-isu nasional. Sebab itu pengundian itu berdasarkan kawasan setempat.

Saya sudah pun menjadi presiden parti di peringkat kebangsaan, isu-isu nasional saya boleh menanganinya. Saya berharap dapat meneruskan khidmat di Teluk Intan. Saya fikir ia bergantung pada pengundi untuk membuat keputusan. Ia bukan soal kekalahan. Saya pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bendamar pada 1995 yang sebelum itu tidak pernah dimenangi oleh Barisan Nasional.

mStar: Dalam tempoh anda kalah selepas menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal, apakah kelemahan di kawasan ini yang dapat dilihat?

Mah: Begitu banyak terutama masalah infrastruktur dan kebajikan rakyat. Kita cuba untuk membantu tetapi apabila kita bukan lagi sebagai ahli parlimen, sudah tentu ia lebih sukar.

mStar: Selain ahli politik, banyak pihak akan mengaitkan nama anda Mah Siew Keong dengan keluarga Mah yang kaya-raya?

Mah: Sekarang, orang akan tahu yang saya ini bukannya kaya. Keluarga Mah begitu besar, seperti keluarga Mah di Taiping dan keluarga Mah di Teluk Intan. Jadi, mereka yang kaya bukannya saya. Saya bukannya pengarah syarikat tetapi saya melibatkan diri dalam politik.

mStar: Menerusi kaitan keluarga Mah yang kaya itu, bagaimana anda mahu mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat terutama dengan peningkatan kos sara hidup?

Mah: Pertamanya, keluarga Mah begitu besar. Terdapat ahli keluarga yang kaya dan tidak kaya. Saya yang tidak kaya. Keduanya, mengenal pasti hal rakyat dengan melihat rekod saya sebelum ini. Kita membantu 3,000 keluarga miskin. Kita menyumbangkan kira-kira 20,000 pek beras. Kita sudah melakukan banyak kerja seperti mewujudkan pusat dialisis di Teluk Intan dan dana untuk penduduk miskin. Jadi, tengoklah trek rekod apa yang kita telah buat.

mStar: Apakah pandangan anda mengenai Malaysia hari ini?

Mah: Saya fikir, kita perlu menghentikan dalam mengenal pasti masalah rakyat dari segi kaum. Bagi saya, masalah Melayu di kampung, masalah India di estet dan masalah Cina berkenaan sekolah, kesemuanya adalah masalah rakyat Malaysia. Saya fikir ahli politik yang mempergunakan kaum dan agama adalah tidak baik untuk negara. Saya fikir kita semua perlu bersama dengan antara satu sama lain dan bersikap kesederhanaan. Saya percaya dengan konsep 1Malaysia.

mStar: Apakah pandangan anda mengenai politik Malaysia sejak beberapa tahun?

Mah: Untuk Malaysia berjaya menjadi sebuah negara, semua kaum di negara ini perlu bekerjasama sebagai 1Malaysia. Saya fikir ia merupakan antara gerakan baharu untuk negara ini.

mStar: Mengenai soalan lebih santai, bagaimana cara Datuk untuk merehatkan diri?

Mah: Saya terlalu sibuk malah tidak bermain golf sekalipun. Saya merehatkan diri saya dengan berkomunikasi menggunakan aplikasi ‘viber’ bersama anak-anak. Saya mempunyai tiga anak dan kesemuanya berusia dalam lingkungan 20an.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .