Sehari selepas lebih 20,000 rakyat berhimpun di Kuala Lumpur untuk membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menggesa umat Islam agar menyokong usaha kerajaan tersebut.
Beliau berkata, Islam tidak melarang sistem percukaian dilaksanakan asalkan ianya tidak menzalimi rakyat.
"Kalau sistem (GST) itu baik dan tidak menzalimi rakyat, maka perkara tersebut dibenarkan oleh syarak," katanya semalam seperti dilaporkan Bernama.
Abdul Rahman turut meminta umat Islam di negara ini tidak menyalahkan kerajaan kerana melaksanakan GST.
"Umat Islam sepatutnya tidak menyalahkan pelaksanaan GST sebaliknya perlu ada sikap membina dan membantu kerajaan dalam menyokong usaha tersebut," katanya.
Tambahnya lagi, sistem kutipan cukai kepada rakyat bukan merupakan perkara baru kerana ia dilaksanakan sejak zaman pemerintahan Umar Al-Khattab di mana segala hasil cukai di salurkan ke Baitulmal untuk diagihkan kepada pihak yang tidak berkemampuan.
Abdul Rahman menyelar sesetengah pihak yang mengadakan perhimpunan kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan cukai GST.
Katanya, kerajaan kini sedang giat dalam usaha memberikan penerangan kepada butiran pelaksanaan GST agar ia dapat difahami rakyat apabila cukai itu dikenakan pada 1 April tahun depan.
"Sesiapa sahaja yang mempunyai cadangan yang lebih baik daripada GST, ia sepatutnya dikemukakan kepada kerajaan dan bukan mengadakan perhimpunan atau demonstrasi," katanya.
Pada 1 Mei lalu, puluhan ribu rakyat Malaysia yang majoritinya orang Melayu beragama Islam berhimpun di Dataran Merdeka untuk membantah GST.
Ia turut dihadiri pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dan ramai lagi.
Orang ramai berkumpul di beberapa lokasi utama seperti KLCC, Sogo, Dataran Maybank, Masjid Negara dan Jalan Raja Laut, sebelum berarak menuju perkarangan Dataran Merdeka pada kira-kira pukul 2 petang.
Demontrasi itu dianjurkan gabungan bersama 95 badan bukan kerajaan (NGO).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2014 di Parlimen Oktober tahun lalu berkata, GST akan mula berkuatkuasa pada April 2015.
Pengenalan GST dijangka akan menyebabkan peningkatan harga barang yang menyebabkan beban tanggungan isi rumah majoriti rakyat terjejas.
Sumber T-M-I
No comments: