Dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada Persatuan bagi Penggalakan Hak Asasi Manusia Hak (Proham), Najib berkata "sebagai rakyat Malaysia, kami percaya kepada hak asasi manusia, dan menyokong falsafah, konsep dan norma-norma dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat".
Beliau juga menegaskan walaupun Malaysia menjadi sebuah negara majoriti Islam, "kepercayaan kami adalah menghormati agama lain, dan komitmen kami ini konsisten dengan perlembagaan dan nilai-nilai kita".
Proham bagaimanapun, menegaskan bahawa kekeliruan istilah awal yang digunakan Najib seperti "hak asasi manusia melampau" dan "human-right-ism" masih belum dijelaskan.
Kenyataan perdana menteri kepada Proham juga disiarkan beliau di laman Facebook miliknya tetapi badan hak asasi manusia itu menggesa pejabat Najib agar mengeluarkan kenyataan ini melalui agensi berita negara, Bernama dan di laman web PM.
"Salah satu cara adalah dengan perdana menteri menjadi tuan rumah perhimpunan organisasi hak asasi manusia yang memainkan peranan utama dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.
"Ia bertujuan untuk mengadakan dialog bagaimana untuk memupuk budaya hak asasi manusia yang konsisten dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan juga memahami sejarah dan budaya tempatan dalam konteks Malaysia," kata Pengerusi Proham, Datuk Kuthubul Zaman dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Denison Jayasooria dalam satu kenyataan.
Di samping itu, Proham menggesa Putrajaya merangka Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan yang lama tertangguh, dan juga mengesahkan teras konvensyen hak asasi manusia seperti ICERD sebagaimana dibincangkan dalam proses UPR.
Selasa lalu, Bernama melaporkan Najib sebagai berkata bahawa Islam kini diancam oleh "humanrightism, liberalisme, sekularisme dan humanism".
Najib berkata demikian pada pembukaan Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan di Kuantan di mana beliau juga mencipta frasa "humanrightism ".
Beliau berkata kefahaman hak asasi manusia melampau boleh disederhanakan melalui undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai budaya Malaysia.
Proham mendesak Najib untuk menjelaskan atau menarik balik komen beliau mengenai "hak asasi manusia melampau" yang dikata sebagai satu ancaman baru terhadap Islam dan umat Islam.
Menyatakan kejutan dengan kenyataan Najib, Proham berkata kenyataan yang dibangkitkan melahirkan "kebimbangan besar" mengenai komitmen Putrajaya untuk memupuk hak asasi manusia dalam masyarakat Malaysia.
Pada hari Jumaat, sekumpulan peguam menyertai bantahan menolak falsafah Najib bahawa "humanrightism" adalah ancaman kepada Islam di Malaysia.
Pengarah Eksekutif Lawyer for Liberty, Eric Paulsen berkata komen perdana menteri itu memperkuatkan dakwaan “reformis palsu” terhadap beliau.
"Walaupun pada permukaannya dan di arena antarabangsa beliau memperjuangkan
hak asasi manusia, kesederhanaan dan penolakan ekstremisme, tetapi dalam negara beliau seolah-olah menyanyi lagu yang berbeza," Paulsen memberitahu The Malaysian Insider.
Paulsen berkata Najib sebenarnya menyokong pandangan pelampau dan kumpulan fasis seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Perkasa.
"Kitra perlu jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang diasaskan kepada demokrasi berparlimen di mana Perlembagaan Persekutuan yang sekular pada asasnya, berkedudukan paling tinggi dan ia menjamin hak-hak asasi tertentu kepada semua rakyatnya tanpa mengira kaum atau agama,"katanya.
Beliau berkata, tindakan Najib adalah satu tindakan politik yang tidak bertanggungjawab, yang dikira bertujuan untuk menunjukkan beliau lebih Islamik.
"Beliau juga dikira cuba mengatasi keIslaman PAS tanpa mengambilkira apa yang terbaik untuk negara Malaysia dan rakyatnya," tambah Paulsen.
DAP juga mengecam kenyataan perdana menteri, dan menyifatkannya sebagai usaha untuk menekan pihak lain terutama apabila Najib memberi amaran bahawa ia adalah "songsang" dan menolak nilai-nilai agama dan etika.
Sumber T-M-I
No comments: