» » Soal Jawab Bersama Dyana Sofya


ANAK kelahiran Ipoh, Perak ini mula mendapat perhatian apabila namanya disebut-sebut bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan dan sejak itu keperibadiannya turut diserang.

Kini, ramalan itu menjadi kenyataan apabila DAP mempertaruhkan calon berusia 27 tahun ini, manakala kritikan yang dilemparkan dianggap cabaran dalam mengharungi dunia politik sebagai calon yang mewakili suara wanita generasi muda.


Di sebalik senyuman manis dan perwatakan cerianya, pemilik nama Dyana Sofya Mohd Daud memulakan langkah perjuangan dengan mempertahankan pencalonannya bukan sekadar boneka atau diperalatkan parti.

Malahan, ahli DAP sejak 2011 itu dengan tegas menyuarakan matlamat perjuangannya untuk mewakili anak muda, membawa keluhan rakyat dan menolak perkauman, jika diberi peluang mengisi kerusi Parlimen itu.


Ikuti siri pertama daripada dua siri wawancara mStar Online bersama lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menyentuh khusus berkaitan isu politik.

mStar: Apakah reaksi anda apabila diumumkan sebagai calon mewakili DAP pada PRK Teluk Intan?

Dyana: Bila diberitahu oleh Mr Lim (panggilan untuk Lim Kit Siang) pada Jumaat lalu, saya terdiam seminit kerana terkejut. Saya ada mendengar khabar angin sebelum itu, tetapi pengesahan itu mengejutkan saya, bagaimanapun akur menerima keputusan atas kepercayaan terhadap saya.

mStar: Komen anda sebagai calon wanita Melayu pertama untuk kerusi Parlimen dari DAP menerusi pencalonan pada PRK Teluk Intan?

Dyana: Kita tidak sepatutnya memfokuskan tentang kaum. DAP mencalonkan saya kerana mereka mempercayai keupayaan saya dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Ini bukan isu kaum, lagi pun antara perjuangan saya adalah untuk menentang perkauman.

mStar: Bagaimana sukarnya wanita untuk berada di dalam politik berbanding lelaki?

Dyana: Sudah tentu sukar untuk saya kerana masih ada stigma berkenaan. Terdapat pandangan bahawa wanita begitu beremosi dan tidak boleh menjadi pemimpin. Itu adalah perkara yang kita hadapi dan perlu ditangani.

mStar: Kenapa anda memilih untuk menyertai DAP, bukannya PKR atau PAS di dalam Pakatan Rakyat?

Dyana: Saya tidak membuat perbandingan antara DAP, PAS dan PKR. Saya memang mahu menyertai pembangkang dan ia berlaku pada 2011 selepas ditemukan dengan Zairil Khir Johari (kini Ahli Parlimen DAP-Bukit Bendera) yang memberi penerangan mengenai parti itu, serta beberapa ahli dan pemimpin DAP.

mStar: Bagaimana reaksi ibu (Yammy Samat) yang merupakan ahli Umno ketika anda mahu menyertai DAP?

Dyana: Ibu menyokong saya. Dia sebelum itu menyertai Semangat 46 jadi dia faham sentimen (politik) saya.

mStar: Bagaimana dengan isu yang dihadapi bersama ibu?

Dyana: Sebenarnya, tiada sebarang isu. Ia lebih kepada perbincangan yang sihat. Ada waktu kami amalkan 'agree to disagree' (bersetuju untuk tidak berselisihan faham terdapat sesuatu konflik). Begitu juga jika ada pemimpin Umno datang ke rumah untuk bertemu ibu, saya akan bertanya khabar macam biasa. Walaupun ideologi dan perjuangan berbeza, tetapi tidak bermakna perlu menjarakkan hubungan antara kita.

mStar: Ibu anda sentiasa dilihat bersama anda semasa berkempen, tidakkah ia menjadi kesalahan memandangkan beliau ahli Umno?

Dyana: Ibu hanya menyokong saya. Dia tidak berkempen menyeru orang ramai mengundi saya. Dia cuma berada di sisi saya untuk memberi sokongan. Itu sahaja.

mStar: Bagaimana reaksi Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap anda?

Dyana: Beliau ada berikan nasihat kepada saya sewaktu bersalaman pada hari penamaan calon. Beliau nasihatkan supaya jangan jadi pengkhianat. Dan saya membalas dengan senyuman dan berkata 'terima kasih'.

mStar: Bagaimana dengan keadaan anda yang secara tiba-tiba lebih dikenali ramai, berbanding sewaktu mula menyertai DAP?

Dyana: Saya menerima banyak komen negatif sewaktu saya menyertai DAP. Saya juga menerima keadaan sama ketika menjadi Setiausaha Politik Lim Kit Siang. Keadaan sekarang juga sama, cuma lebih mencabar, tetapi saya bersedia menghadapinya selepas melalui beberapa latihan.

mStar: Apakah inspirasi politik anda, mungkin mengimpikan untuk menjadi Perdana Menteri atau lain?

Dyana: Sudah tentu. Jika anda bertanyakan sesiapa sahaja, mereka mungkin akan kata mahu menjadi Perdana Menteri wanita pertama, memegang jawatan besar atau menjadi seseorang yang berjaya. Ketika saya mula menyertai DAP, bukan sebab untuk menjadi seorang YB (Yang Berhormat) tetapi saya mahu berkhidmat kepada rakyat. Malah sebelum saya menyertai politik pun saya membantu rakan dalam program latihan pembangunan, turun padang bertemu orang awam.

Jika lima tahun dahulu anda tanya adakah saya akan bertanding dalam kerusi Parlimen, sudah tentu saya katakan tidak. Tetapi setiap orang akan berubah. Sudah tentu saya mahu menjadi orang yang berjaya, pemimpin yang baik untuk rakyat. Apapun saya mahu memberi khidmat kepada rakyat dan membuat perubahan tanpa mengira kedudukan saya.

mStar: Apakah kekuatan anda dan kelemahan pihak lawan (calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong) serta pendekatan kempen anda?

Dyana: Saya tidak mahu mengulas tentang kelemahan pihak lawan. Ia hanya akan menjejaskan strategi saya untuk berkempen. Tetapi dari segi kekuatan saya... saya masih muda dan wanita, mungkin lebih banyak mendekati golongan muda dan wanita. Dan juga penglibatan bersama rakyat. Saya akan turun padang dan berjumpa rakyat untuk mengetahui kemahuan mereka. Dasar yang kita akan perjuangkan tentang kepelbagai budaya, menghentikan politik perkauman, membantah kenaikan harga barang.

mStar: Kenapa rakyat di Teluk Intan perlu mengundi anda kerana anda masih baharu dan Mah pernah menjadi wakil rakyat di kawasan ini dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan pusat?

Dyana: Salah satunya disebabkan pendirian saya sendiri dan DAP. Begitu juga dengan perjuangan saya untuk membantu rakyat membantah kos sara tinggi yang semakin meningkat, menolak politik perkauman dan memartabatkan wanita di Parlimen ini.

mStar: Bagaimana respon anda apabila masyarakat Cina bertanyakan apakah yang anda boleh tawarkan sebagaimana ahli parlimen di Teluk Intan sebelum ini yang berbangsa Cina?

Dyana: Mereka cuma katakan apabila mereka memilih saya, mereka mahu saya kerja dengan rajin. Sudah tentu, apabila kita menerima satu tanggungjawab, kita perlu lakukannya dengan bersungguh-sungguh.

mStar: DAP dilabel sebagai parti cauvinis Cina. Adakah anda mahu mengubah minda rakyat mengenainya atau anda sebenarnya diperalat parti untuk mengubah persepsi itu?

Dyana: DAP tidak pernah menjadi parti cauvinis Cina. Jika tidak, saya sudah tentu tidak akan 'survive' dalam parti ini dan mungkin juga tidak akan menjadi Setiausaha Politik kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang. Mereka tidak mempergunakan saya. Saya kecewa dengan tanggapan itu tetapi kita tidak boleh nak puaskan hati semua pihak.

mStar: Bagaimana anda melihat peluang untuk menang pada PRK Teluk Intan?

Dyana: Peluang 50-50 merupakan satu angka yang cukup besar kerana saya adalah calon 'underdog'. Semalam (Isnin), Mr Lim (Kit Siang) kata mungkin 40-60, malah mungkin lebih rendah dari 40 peratus untuk saya. Secara peribadi, saya akur dengan anggaran itu berdasarkan faktor pengalaman.

mStar: Adakah anda yakin dengan peluang 50-50 itu pada hari mengundi 31 Mei ini?

Dyana: Yakin atau tidak... saya tidak dapat katakan. Tetapi kita bekerja keras sebaik yang boleh. Ia melibatkan seluruh pasukan, bukan hanya saya seorang.

mStar: Adakah anda akan melepaskan jawatan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang sekiranya memenangi PRK Teluk Intan?

Dyana: Saya sudah menghantar surat perletakan jawatan itu sehari sebelum hari penamaan calon. Sudah tentu ia merupakan keputusan yang sukar kerana saya tidak dapat lagi bekerja rapat dengan beliau. Tetapi saya masih boleh bekerjasama dengan beliau dalam parti.

mStar: Kenapa tidak meletakkan jawatan itu selepas PRK Teluk Intan dan bagaimana sekiranya anda tidak memenangi dalam pilihan raya ini?

Dyana: Saya letak jawatan (lebih awal) untuk menunjukkan komitmen saya, bahawa saya berada di Teluk Intan untuk berkhidmat kepada rakyat.

mStar: Apakah yang anda akan lakukan sekiranya memenangi atau kalah pada PRK Teluk Intan?

Dyana: Apa kata anda tanya saya sekiranya ia berlaku (jika menang atau kalah). Dan masa itu saya akan berikan hanya satu jawapan.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .