» » Senarai Pemain Bolasepak Paling Berpengaruh Di Eropah


KEPANTASANNYA dan prestasinya hampir-hampir menobatkan Liverpool sebagai juara liga dan kini hasil kajian terperinci mendapati yang Luis Suarez dengan jaringan 31 gol secara statistiknya adalah pemain bolasepak paling berpengaruh di benua Eropah.

Analisis mendalam yang dilakukan oleh Bloomberg Sports ke atas setiap pemain dalam liga Inggeris, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol mendapati pemain Uruguay itu jauh lebih tinggi kedudukannya daripada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Penilaian dan analisis yang dibuat oleh Bloomberg ke atas lima liga paling penting di Eropah dilihat sebagai yang paling canggih serta terbukti secara saintifik di dunia dengan mengambil kira segala aspek pertahanan dan serangan setiap pemain serta kekuatan pihak lawan yang mereka hadapi.

Analisis yang dilakukan oleh Bloomberg itu juga termasuklah mengambil kira kemampuan dan kelemahan dalam menghantar bola, kreativiti di atas padang, mengelicik, menanduk, menendang dan menjaringkan gol.

Kajian itu mendapati, Suarez berada di tangga teratas carta 50 pemain paling berpengaruh di Eropah dengan indeks sebanyak 86.02 mengatasi mata yang diperolehi bintang Barcelona, Lionel Messi yang berada di tangga kedua dengan 85.43 mata diikuti penyerang Paris Saint-Germain, Zlatan Ibrahimovic di tempat ketiga dengan 84.91 mata.

Pemain terbaik dunia 2013, Ronaldo hanya mampu berada di tangga keempat dengan 84.59 mata.

Pemain AS Roma, Kevin Strootman yang menjadi sasaran Manchester United berada di tangga kelima dengan 81.86 mata dan diikuti oleh penyerang juara baru La Liga, Atletico Madrid, Diego Costa di tangga keenam (81.68 mata).

Paling mengejutkan ialah hasil kajian itu mendapati pemain Magribi dan AS Roma, Mehdi Benatia berada di tangga ketujuh (81.30 mata).

Pemain termahal dunia, Gareth Bale dari Real Madrid hanya mampu berada di tangga ke-24.

Anda juga akan dapati terdapat nama-nama yang tidak dikenali kerana tidak mendapat publisiti meluas dalam media tetapi dari sudut saintifik dan sumbangan mereka membuktikan mereka layak berada dalam 50 pemain paling berpengaruh Eropah.

Sementara itu, Atletico yang kali terakhir menjadi juara liga ialah pada 1996, mempunyai lapan pemain yang disenaraikan dalam 50 pemain paling berpengaruh itu.

Juara Serie A, Juventus mempunyai tujuh wakil yang tersenarai dan begitu juga dengan naib juara AS Roma.

Juara baru Liga Perdana Inggeris, Manchester City menyumbang empat pemain dalam senarai tersebut termasuklah David Silva, Yaya Toure, Martin Demichelis dan Joe Hart.

Southampton juga boleh berbangga dengan tiga pemain mereka termasuk dalam senarai tersebut iaitu Dejan Lovren, Jose Fonte dan Rickie Lambert. Mengejutkan kerana ketiga-tiga mereka berada dalam kedudukan lebih tinggi dari penyerang Manchester United, Wayne Rooney di tangga ke-48 .

Ini sekaligus meletakkan Southampton setaraf dengan kelab-kelab besar seperti Real Madrid, Borussia Dortmund dan PSG yang juga hanya diwakili oleh tiga orang pemain.

Bek tengah Chelsea, Gary Cahill adalah pemain Inggeris di ranking paling tinggi iaitu tangga ke-36.

Liga Perdana Inggeris menyumbangkan 13 pemain dalam senarai tersebut termasuklah Eden Hazard, Aaron Ramsey dan Daniel Sturridge.

Bagaimanapun 17 pemain yang tersenarai tidak akan bermain dalam temasya Piala Dunia di Brazil bulan depan kerana negara mereka gagal melayakkan diri. Antaranya Ibrahimovic, Strootman, Mehdi Benatia, Robert Lewandowski dan Tiago.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .