Menteri Pendidikan II itu berkata universiti awam di Malaysia masih dalam lingkungan usia yang muda dan pencapaian yang ditetapkan perlu berada tahap yang realistik.
"Ranking tidak menggambarkan segalanya tetapi kita boleh tingkatkan. Kita perlu realistik dalam mencapai kedudukan.
"Kalau kita terlalu mengejar ranking mungkin kita terlupa kepada pengajaran dan pembelajaran. Saya lihat universiti di Malaysia ini masih terlalu muda," katanya dalam satu sidang media pertunjukan universiti penyelidikan di Universiti Putra Malaysia di Serdang hari ini.
Awal bulan ini, universiti awam di Malaysia gagal mencapai piawaian antarabangsa dalam institusi pengajian tinggi dunia berusia bawah 50 tahun.
Universiti Kebangsaan Malaysia hanya berada di tangga ke-98 dalam senarai itu pada 2012.
Kementerian Pendidikan menerima RM38.7 bilion pada 2013 dan ditingkatkan kepada RM54 bilion tahun ini, bajet terbesar yang pernah diterima dalam sejarah kementerian itu.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata senarai bagi universiti di bawah 50 tahun lebih adil berbanding ukuran lain seperti Ranking Universiti Dunia yang turut menyenaraikan universiti tua seperti Oxford, Harvard dan Cambridge.
“Kegagalan universiti di Malaysia yang kebanyakannya di bawah 50 tahun kecuali Universiti Malaya untuk masuk dalam senarai adalah sesuatu yang memalukan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Idris berkata, menerusi program Universiti Penyelidikan (RU) yang dijalankan sejak 2007,seramai 3,897 graduan doktor falsafah (PhD) berjaya menamatkan pengajian dan sebanyak RM2 bilion berjaya dijimatkan menerusi pelajar yang melanjutkan pelajaran di dalam negara.
Katanya, peruntukan yang dikeluarkan untuk program RU bagi tempoh 2007 hingga 2011 adalah sebanyak RM1.86 bilion manakala pulangan yang diperoleh sebanyak RM3.608 bilion.
“Setiap pelajar RU yang belajar dalam negara menjimatkan setengah juta ringgit. Sasaran Keluaran Negara Kasar kita mensasarkan RM10.78 bilion.
“Pendapatan daripada penyelidikan inovasi berjumlah RM1.25 bilion manakala 182,720 peluang pekerjaan yang akan dijana,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut memaklumkan jumlah penerbitan ilmiah di Malaysia mengatasi Singapura bermula tahun lalu dengan inisiatif pelancaran RU.
Katanya, bilangan profesor di Malaysia mencukupi untuk mencapai negara maju dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa.
“Saya ingin memberitahu penerbitan kita sudah melebihi Singapura dan Thailand. Pada tahun lalu, kita sudah mendahului.
“Ini merupakan ledakan pengetahuan yang berlaku dalam negara kita daripada segi kapasitinya bertambah dengan cepat apabila adanya RU,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Bulgiba, berkata geran pendidikan yang diberi kepada pelajar PhD tidak akan disalahgunakan oleh pelajar.
Katanya, perkara itu tidak berlaku disebabkan segala perbelanjaan pelajar dikawal oleh penyelia pendidikan yang juga merupakan kakitangan universiti.
“Tanggungjawab geran tersebut bukan pada pelajar tetapi kepada penyelia selaku kakitangan akademik. Tidak akan berlaku pelajar menyalah guna wang. Sebab pelajar tidak boleh berbelanja tanpa kebenaran penyelia.
“Di UM, geran pendidikan tidak boleh dibuat untuk membeli komputer dan sebagainya. Ia digunakan untuk membeli barang yang diguna pakai seperti bahan kimia dan bahan penyelidikan. Terdapat banyak kawalan di sana,” katanya.
Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April lalu menegur Kementerian Pendidikan berhubung dana penyelidikan asas untuk menghasilkan teori, konsep dan idea baharu kerana berlaku ketirisan apabila dana berkenaan dibelanjakan namun tiada kajian dihasilkan.
Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini perlu mengambil iktibar teguran yang dibentangkan dalam laporan itu.
Katanya, pihak universiti juga tidak seharusnya hanya mengharapkan bantuan kewangan melalui geran yang diberikan kerajaan, sebaliknya perlu berusaha mencari sumber kewangan mereka sendiri.
No comments: