Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa hudud juga boleh dilaksana ke atas sultan dan raja-raja Melayu, malah golongan itu boleh dilucutkan takhta sekiranya tidak mematuhi undang-undang Islam atau melakukan dosa besar.
Katanya, perkara itu dinyatakan secara tersirat dalam perlembagaan persekutuan dan ada di antara butirannya itu dinyatakan dalam perlembagaan negeri masing-masing.
“Sultan boleh dilucut takhta sekiranya mereka melakukan tindakan yang dianggap sebagai uzur sharie, yang mendedahkan kelemahan peribadi mereka, dari sudut pandangan Islam.
“Faktor ini juga penting untuk menentukan sama ada pewaris takhtanya boleh dilantik sebagai sultan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, majlis perajaan di setiap negeri bagaimanapun terlepas pandang peruntukan tersebut, yang menimbulkan masalah pada hari ini.
Keadaan ini menyebabkan kemunculan pemerintah yang personalitinya tidak mengikut tatasusila moral Islam yang tegas.
Abdul Aziz bersetuju dengan pandangan oleh anggota exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahaya yang berkata hudud boleh dilaksana ke atas sultan dan raja Melayu.
Fathul berpendapat, perlembagaan persekutuan tiada peruntukan yang menghalang perkara itu.
“Sebagai ketua agama Islam, tidak perlu dinyatakan lagi bahawa sultan pertama sekali tertakluk kepada undang-undang Islam.
“Ini bermakna tertakluk kepada hudud. Oleh itu sultan tidak boleh melakukan dosa besar termasuk berzina, mencuri dan minum arak,” katanya kepada Malaysiakini.
Pakar perlembagaan itu juga berkata, perlembagaan persekutuan memansuhkan kekebalan raja-raja dan mereka tertakluk kepada undang-undang sivil, ekoran pindaan pada tahun 1993 ke atas Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.
“Perlu dilihat bahawa keistimewaan kekebalan atau dikecualikan dari prosiding perundangan agak terasing dari fahaman mengenai kesamarataan dalam Islam.
“Dari sudut pandangan ini, mahkamah khas itu satu anomali kerana ia meletakkan sembilan raja-raja melebihi undang-undang, kononnya."
No comments: